Ini Entah Kali Ke Berapa Kena Pindah – Mangsa Banjir

BAGAN SERAI: Seorang mangsa banjir di sini, Abu Bakar Mat, 60 mengakui sudah tidak ingat entah kali ke berapa terpaksa berpindah apabila kampungnya kerap di naiki air bah.

“Ini perpindahan kali ke berapa entahlah, saya tak ingat tapi yang pasti sudah banyak kali,” katanya.

Warga emas terbabit adalah seorang daripada mangsa banjir di Kampung Parit Mat Keling, di sini yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman.

Abu Bakar berkata, sejak tahun 1990-an lagi, dia dan keluarga sering dipindahkan ke PPS apabila kediaman mereka dinaiki air.

“Air mula naik kawasan kediaman kami sejak semalam dan hari ini keadaan semakin membimbangkan hingga saya serta keluarga dan beberapa penduduk lain dipindahkan ke PPS ” katanya.

Pengerusi Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri ketika dihubungi berkata, sehingga jam 11 malam tadi, seramai 29 mangsa membabitkan sembilan keluarga dari tiga kampung iaitu Kampung Parit Air Hitam 3, Parit Ali Kalang dan Parit Mat Keling dipindahkan ke PPS itu.

Katanya, pusat berkenaan mula dibuka jam 4.30 petang tadi berikutan beberapa kediaman penduduk di tiga kampung mula dinaiki air.

“Paras air di lokasi kejadian di antara 0.5 meter hingga satu meter dan sehingga kini paras air tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Mangsa banjir di PPS berkenaan turut menerima kunjungan Sahabat Parlimen Bagan Serai, mewakili Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Dalam kunjungan itu mangsa yang terjejas turut menerima bantuan awal termasuk tuala mandi dan makanan.

PPS SK Parit Haji Aman menjadi pusat pemindahan mangsa banjir ketiga dibuka di Perak dibuka sejak Selasa lalu dengan dua daripadanya adalah di Changkat Jong, Teluk Intan.

Bagaimanapun, PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Taman Desa Aman sudah ditutup semalam dan hanya PPS SK Changkat Jong masih dibuka membabitkan 44 mangsa daripada lapan keluarga setakat jam 11 malam tadi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.