Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan Mohamad semasa berucap dalam seminar di Universiti Malaya bahawa nilai hutang negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion dan terpaksa disembunyikan supaya negara tidak jatuh muflis adalah sesuatu yang mengejutkan.

“Mat Sabu kata nilai sebenar hutang negara adalah jauh lebih besar daripada RM1 trilion yang dinyatakan Lim Guan Eng, tetapi terpaksa disembunyikan supaya Malaysia tidak menjadi muflis

“Adakah Mat Sabu dakwa Lim Guan Eng ialah seorang penipu? Ataupun maksud Mat Sabu ialah nilai hutang negara boleh ditukar-tukar sesuka hati oleh kerajaan PH,” kata Najib dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambah Najib, Mohamad perlu tahu bahawa pelabur-pelabur asing tidak akan berminat untuk melabur di negara yang telah muflis ataupun dengan kerajaan yang suka menyembunyikan keadaan sebenar ekonomi negara.

Tegas Najib, Mat Sabu perlu menyedari bahawa beliau bukan lagi ahli politik pembangkang yang boleh mengeluarkan kenyataan sesuka hati seperti dahulu.

“Dia sudah berpangkat menteri dan itupun bukan calang-calang menteri tetapi Menteri Pertahanan satu jawatan yang amat penting dan disanjung tinggi.

“Oleh itu Mat Sabu perlu lebih bertanggung-jawab dengan kenyataannya kerana mungkin memberi kesan negatif kepada negara,” kata Najib.

Dalam kenyataan tersebut, Najib tetap berpendirian hutang negara berjumlah RM688 bilion iaitu jumlah yang turut diiktiraf oleh tiga agensi penarafan antarabangsa dan Bank Dunia.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini mendedahkan hutang negara berjumlah RM1 trilion. – UTUSAN ONLINE