Zul Ariffin Tidak ‘Main Redah’ Terima Tawaran

KUALA LUMPUR: Pelakon yang kini popular menerusi drama rantaian, Titian Cinta, Zul Ariffin mengakui, semakin selektif dalam setiap karya yang akan dibintanginya.

Bukan sekadar menitikberatkan skrip dan jalan cerita, Zul juga mahu melihat sejauh mana karya itu mampu bergerak.

Bagi pelakon filem Tombiruo itu, sehebat mana pun sesebuah karya, sekiranya tidak dipromosikan dengan baik, ia tidak akan meraih perhatian ramai.

“Kita tidak boleh main redah menerima sesebuah karya hanya kerana mengejar tawaran semata-mata. Seseorang pelakon harus meneliti ke mana hala tuju sesebuah produksi.

“Untuk apa sekadar berlakon, tetapi tidak mempedulikan perancangan seterusnya.

“Jika drama pula, kita perlu memastikan watak dan karya itu dekat dengan penonton. Saya tak boleh fikir, drama lakonan saya hanya ditonton orang bandar. Saya mahu lakonan dan karya yang saya bintangi membuat penonton terhibur,” katanya.

Pada masa sama sama, dalam usaha memastikan namanya terus bertahan ketika kebangkitan bakat baharu, Zul mengambil pendekatan hanya menerima watak utama supaya kemunculannya membekas di hati peminat.

Zul berkata, pendirian itu diambil sejak awal pembabitannya dalam industri bagi mengekalkan momentum sebagai pelakon.

“Dari awal lagi, saya memilih untuk menerima tawaran hanya watak utama. Saya sanggup menyahut cabaran, malah sentiasa bersungguh-sungguh untuk memastikan kepercayaan yang diberikan penerbit dan pengarah tidak dihampakan.

“Bukan menolak watak pembantu, tetapi saya harus melihat barisan pelakon utama terlebih dahulu. Jika ditawarkan beraksi di samping pelakon seperti Jalil Hamid dalam Bisik Pada Langit, pasti saya tidak akan menolak,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.