Urusan Masih Belum Selesai Dengan Ukays Kata Amir

KUALA LUMPUR – Selepas dua dekad membawa haluan sendiri, ura-ura penyatuan semula kumpulan popular era 1990-an, Ukays mula bertiup, terutama apabila vokalisnya, Amir mengesahkan dia dan pemain gitar, Amy sudah kembali berhubung.

Amir atau nama sebenarnya, Mohd Azmir Muhammad Yusof, 49, bagaimanapun enggan mengesahkan perkara itu selagi mereka belum bertemu secara empat mata, lappr BH.

“Saya belum terdengar apa-apa perancangan mengenai penyatuan semula Ukays. Memang Amy ada menghubungi saya menerusi kiriman WhatsApp, kira-kira dua minggu lalu. Tetapi, kami tidak berbual panjang kerana saya lebih selesa berjumpa terus.

“Itu lebih baik dan tepat, terutama selepas bertahun-tahun kami tidak bertemu. Masih ada urusan yang belum selesai antara kami dan saya juga mempunyai beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengannya.

“Saya tidak tahu apa perkembangan terkini kerana selepas itu, Amy terus senyap,” katanya.

Amir yang ditemui pada majlis pelancaran album kompilasi Meenz, baru-baru ini, menegaskan, pengundurannya daripada Ukays pada 1997 bukan berniat membiarkan teman seperjuangannya terkontang-kanting.

Sebaliknya, tambah Amir, ketika itu, masing-masing sudah mempunyai kerjaya tetap.

“Tidak timbul isu saya membiarkan mereka terkontang-kanting. Ada yang berkerjaya tetap, malah ada yang menubuhkan kumpulan baharu. Kami sudah sepakat memilih haluan sendiri, jadi teruskan sahaja hidup,” katanya sarat makna tersirat.

Amir berkata, ketika ini dia selesa bergerak sendiri kerana mahukan kebebasan dalam merencana perjalanan kerjayanya. Dia bersyukur, masih menerima undangan persembahan dan bakatnya terus dipercayai.

“Mungkin ada yang menyangka saya sudah memperlahankan aktiviti seni kerana kurang menerima pendedahan. Saya tidak salahkan sesiapa. Semangat saya masih kuat kerana dorongan peminat,” kata Amir mengakui, penyertaannya dalam Gegar Vaganza musim kedua mengembalikan semula ingatan ramai terhadap bakatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.