Raja Ilya Terpaksa Tolak Tawaran Berlakon

SIAPA yang tidak ingin namanya dikenali di pentas antarabangsa. Barangkali level ‘antarabangsa’ itu sendiri membuatkan sesiapa pun mahu menanam impian untuk mencapai ke taraf setinggi itu.

Justeru, jika diberikan peluang dan kesempatan untuk menempatkan diri di mata dunia, sudah pasti perasaan teruja mengatasi segalanya.

Begitulah yang dirasai pelakon berbakat besar, Raja Ilya ketika kali pertama mendapat perkhabaran mengenai peluangnya membintangi sebuah naskhah terbitan produksi terkemuka, Marvels yang dikenali dengan karya adiwira popular seperti Captain America, Thor, Spider Man dan Avengers.

Sayangnya, beberapa bulan selepas pelakon berusia 32 tahun itu membuka mulut mengenai berita gembira tersebut untuk dikongsikan kepada umum, dia terpalit dengan dakwaan kononnya cerita yang disampaikan itu hanyalah sebuah sandiwaranya untuk mendapat perhatian sahaja.

Dakwaan itu timbul selepas cerita dirinya mahu ke Hollywood menjadi bualan sejak awal tahun dilihat seperti tergantung begitu sahaja sehingga kini. Ia ditambah pula apabila cerita mengenai dirinya bakal ke Bollywood tahun sebelum ini juga terus ‘sepi’.

Masa suntuk

Biarpun ada cakap-cakap belakang yang kurang senang, pelakon drama Gerak Khas itu tidak mengambil endah. Apa yang penting, katanya, dia kini sedang sibuk melakukan persiapan diri sebelum menjejakkan kaki di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Saya tidak menyangka boleh timbul pula cerita seperti itu. Apapun, biarlah apa orang nak kata. Bagi saya, mungkin sekarang ini saya tidak perlu cakap lanjut mengenainya terlebih dahulu.

“Sekarang rasanya lebih elok kalau saya tutup mulut dulu. Biarlah nanti pihak sana (Marvel) buat pengumuman sendiri secara rasmi. Rasanya, itu sahajalah waktu yang perlu saya tunggu. Jadi, selepas pengumuman itu nanti, barulah terjawab segalanya,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Biarpun ramai ternanti-nanti karakter dan judul naskhah yang bakal dibintanginya, Ilya memberitahu, biarlah masa yang menentukan segalanya.

Menurut pelakon yang mesra disapa Ilya itu, dia kini tidak mempunyai masa untuk ambil pusing dakwaan tidak berasas yang bertebaran seperti itu. Ini kerana, dia sudah kesuntukan masa bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia untuk beraksi dengan sebuah produksi gergasi yang bakal menjadi satu transformasi dalam kariernya.

“Tahun ini saya tidak ambil tawaran berlakon drama bersiri. Terpaksa tolak dengan cara baik. Kalau ada pun hanyalah untuk projek jangka pendek sahaja seperti pengacaraan atau terlibat dengan telefilem.

 

SELAIN berlakon, Ilya sibuk menguruskan bisnes francais miliknya, Richiamo Cafe.

“Bukan apa, saya perlu betul-betul pastikan bentuk badan saya ini memenuhi kriteria yang sepatutnya untuk muncul di skrin nanti. Sebab itu, saya kena ‘buat’ badan dengan menjalani rutin di gimnasium. Maklumlah, untuk bentukkan otot badan bukan sehari dua, tetapi berbulan-bulan. Jadi, kalau saya terikat dengan jadual lakonan, ia akan menyukarkan rutin latihan saya di gimnasium pula,” kata pelakon filem Appalam itu.

Kongsi Ilya, dia kini ada kurang tiga bulan lagi untuk membuat segala persiapan sebelum dijangka berangkat ke Los Angeles awal tahun depan.

Biarpun berasa teruja dengan peluang yang dianggap sebagai sekali dalam seumur hidup itu, jauh di sudut hati Ilya, pada masa sama dia diulit rasa bimbang.

Mana tidaknya, untuk tahun depan, jadual seninya di sini masih belum terisi. Bahkan, dia juga sudah mula berkorban sejak beberapa bulan yang lalu untuk melupakan seketika perihal ‘berkampung’ di set seperti kebiasaan.

“Tahun depan saya memang terpaksa kosongkan jadual di sini untuk mengejar impian besar. Risau juga untuk kerja pada tahun depan. Sebab memang tak ambil apa-apa tawaran pun di sini lagi sebab nak fokus yang di sana,” katanya.

Sungguhpun sudah terpaksa ‘berehat’ seketika daripada beraksi di hadapan kamera untuk tempoh panjang, kata Ilya, dia bersyukur, wajahnya masih sentiasa menghiasi kaca televisyen pada saat ini.

“Syukur kebetulan ketika saya tidak terlibat dengan penggambaran, drama-drama yang pernah keluar sebelum ini kerap kali diulang tayang semula.

“Jadi, sekurang-kurangnya, wajah saya masih menghiasi kaca televisyen. Mula-mula risau juga kerana bimbang nanti orang lama tak nampak lakonan di televisyen,” seloroh Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Anugerah Sri Angkasa itu.

Bisnes

Biarpun tidak ke set drama, kata Ilya dia tetap sibuk menguruskan perniagaan miliknya iaitu Richiamo Coffee. Buat masa ini, kata Ilya, perniagaannya semakin berkembang apabila mula mendapat perhatian orang ramai.

“Buat masa ini kami sudah ada tiga cawangan. Perniagaan kafe yang menjual kopi premium ini merupakan sebuah bisnes francais yang saya usahakan.

“Tiga cawangan lagi akan dibuka pada tahun ini, menjadikan keseluruhannya enam buah kafe,” katanya.

Memberikan fokus kepada lokasi di kawasan kampus institusi pengajian tinggi, kata Ilya, itu merupakan strateginya dalam memperkenalkan produknya kepada para pelanggan.

“Saya melihat kampus universiti merupakan tempat paling baik kerana kita berada dalam radar pelanggan berpotensi.

“Jadi, kita tidak risau daripada aspek trafik dan tidak perlu tertunggu-tunggu kerana kafe itu sudah dalam perimeter tempat pelanggan,” kongsinya yang mempunyai kafe tersebut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Utara Malaysia.

Menurutnya, walaupun menyasarkan kampus sebagai lokasi perniagaan, beberapa francais lain turut dibuka di tempat lain.

“Sekarang ada satu francais dibuka di sebuah bangunan kerajaan.

“Walaupun tumpuan utama di kampus, tetapi ia tetap dibuka kepada orang luar. Jadi, tiada masalah untuk orang lain mendapatkannya,” kongsi pelakon drama Syurgaku Tak Sempurna itu.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.