‘Perang Siber’ Dengan Zed, Tiz Dikecam

Nampak gayanya, ‘perang siber’ antara aktres popular, Tiz Zaqyah dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi masih belum membayangkan sebarang petanda bakal ternoktah dalam masa terdekat.

Terdahulu, Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 29, lantang meluahkan rasa hatinya terhadap industri seni tanah air, selain mempersoalkan fungsi Seniman dalam menjaga kebajikan setiap ahli berdaftar persatuan itu di laman sosialnya pada Rabu lalu, lapor Kosmo.

Ia bagaimanapun kembali dibidas Zed sehari kemudian yang menyifatkan Tiz sebagai ‘banyak cakap’ kerana terlalu vokal di laman sosial.

Sebaliknya, Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 37, menggesa supaya teraju utama filem Kolestrol Vs Cinta itu supaya menghadiri mesyuarat yang dikendalikan persatuan berkenaan jika berdepan sebarang masalah berbangkit selain mahu mengutarakan cadangan bernas berbanding memilih untuk ‘bersuara’ di laman sosial.

Susulan daripada kenyataan Zed, Tiz jelas kecewa kerana tindakan itu menyebabkan dirinya menjadi kecaman netizen di laman sosial.

“Saya rasa tidak selamat kerana ada netizen yang serang secara peribadi. Dia (Zed) sebagai ketua (Presiden Seniman) sepatutnya bersifat melindungi dan menyokong, bukan menuduh banyak cakap,” tulis Tiz di laman Instagram peribadinya, @tiz.zaqyah kelmarin.

Mengulas lanjut, Tiz juga percaya apa jua yang disuarakan olehnya tidak berbeza dan sering kali dibangkitkan oleh ahli-ahli Seniman pada setiap mesyuarat yang diadakan persatuan berkenaan selama ini.

Getus Tiz, sebagai ahli dia berhak untuk menyuarakan pendapat terutamanya berkaitan fungsi persatuan itu melindungi golongan artis.

“Sebagai ahli, sudah cukup untuk memberikan pendapat dan bertanya. Saya tidak perlu posisi (kedudukan jawatan) dalam Seniman,” tulisnya lagi.

Tiz memberitahu, dia cuma bermaksud untuk menjadikan persatuan pelakon di negara lain sebagai contoh supaya kebajikan artis di sini terbela sekali gus berfungsi dengan lebih baik berbanding sedia ada.

“Saya bukan nak samakan tetapi jadikan negara lain sebagai contoh dalam waktu bekerja, kesihatan dan kes kru meninggal dunia di set (penggambaran) kerana terlalu terbeban dengan kerja,” jelasnya.

Meskipun terkilan dengan kenyataan Zed, Tiz tetap memohon maaf sekiranya tindakannya bersuara di laman sosial mengguris perasaan mana-mana pihak.

“Kami hanya penggiat seni yang memerlukan sokongan Seniman, dia (Zed) sepatutnya menyebelahi dan menyokong kami.

“Kami memerlukan Presiden dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya, jadi dia perlu memastikan industri ada penambahbaikan,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.