Penduduk Kawasan Rendah Diminta Waspada Musim Tengkujuh

GUA MUSANG – Penduduk di kawasan rendah di Kelantan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada bagi menghadapi sebarang bencana banjir terutama ketika menjelang musim tengkujuh.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata mereka perlu mengambil iktibar terhadap kejadian banjir besar yang berlaku di negeri ini pada 2014.

“Penduduk perlu membuat persiapan awal iaitu dengan mengemas segala dokumen penting dan lain-lain keperluan termasuklah pek makanan ringkas sementara menunggu bekalan makanan tiba di pusat pemindahan banjir jika mereka dipindahkan kelak.

“Ini bagi memastikan mereka tidak cemas ketika berdepan dengan bencana itu,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Titian Murni anjuran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di sini, hari ini, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Mohd Faudzi berkata sebanyak 50 rumah kekal baharu sedang dibina di Kampung Limau Kasturi dan dijangka akan disiapkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata kelewatan itu berpunca daripada proses pengambilan tanah yang mengambil masa agak lama berbanding pembinaan rumah kekal baharu yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!