Jambatan Kekal Kampung Pulau Setelu Dijangka Siap Ikut Jadual

GUA MUSANG – Kerajaan Persekutuan akan memastikan pembinaan jambatan baharu bernilai RM36.7 juta merentasi Sungai Nenggiri di Kampung Pulau Setelu di sini, siap mengikut jadual pada tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Ab. Aziz Yusof berkata, pembinaan jambatan itu yang kini mencapai 40 peratus siap, menjadi penghubung utama kepada pengguna yang melalui Jalan Gua Musang-Jeli.

“Jambatan sementara di kampung itu yang dibina rendah dengan permukaan sungai berkenaan sering ditenggelami air setiap kali paras air meningkat akibat hujan lebat dan mengambil masa beberapa jam untuk surut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan itu semalam.

Dalam kejadian terbaru kelmarin, jambatan sementara itu terpaksa ditutup enam jam mulai 9 pagi berikutan ditenggelami air berikutan hujan lebat sebelum paras air surut pada 3 petang.

Jambatan asal di kampung berkenaan musnah akibat banjir besar yang berlaku pada 2014.

Ab. Aziz berkata, pihaknya bersimpati dengan masalah yang dihadapi pengguna khususnya penduduk sekitar kawasan tersebut untuk melakukan kerja harian apabila jambatan sementara itu ditenggelami air. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.