Jakim Mohon Mengadap Sultan Johor

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membuat permohonan mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berikutan titah baginda yang berhubung badan itu pagi tadi.

Ketua Pengarahnya Tan Sri Othman Mustapha berkata, permohonan dibuat bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Jakim amat menyanjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan berkaitan Jakim hari ini.

“Justeru, saya dan Datuk Seri Jamil Khir akan segera memohon perkenan untuk mengadap tuanku, berkaitan isu ustaz Zamihan Mat Zin, pegawai kader Jakim di Penjara Kajang yang menyampaikan ceramah menyentuh soal dobi mesra Muslim yang tular,” katanya dalam satu kenyataan.

Sinar Harian hari ini melaporkan titah Sultan Ibrahim yang Jakim tidak perlu memberi pandangan agama kepada Johor kerana soal itu di bawah bidang kuasa negeri.

Baginda juga menitahkan menitahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) agar tidak lagi berurusan dengan badan itu.

Ia dipercayai susulan laporan Zamihan yang baru-baru ini mengkritik Sultan Ibrahim yang membidas dobi “Muslim sahaja” di Muar yang menjadi perhatian negara.

“Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong, seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain.

“Kalau betul dia penceramah Jakim, saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia,” titahnya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kali ke-17, hari ini.

Susulan kenyataan Zamihan itu, beliau direman polis Akta Hasutan bersama Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain dipanggil ke lembaga tatatertib Jakim dan digantung tauliah ceramah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.