Himpunan Gagal Penuhkan Padang, Makan Diri PH – Penganalisis

SHAH ALAM – Kehambaran Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi telah memakan diri Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini kerap menyerang kerajaan bersabit isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut penganalisis politik Azmi Hasan, rakyat kini sudah muak dengan tuduhan-tuduhan pembangkang namun sehingga kini mereka gagal membuktikan apa-apa.

“Pihak pembangkang lazim guna jumlah yang hadir dalam perhimpunan mereka sebagai tanda sokongan.

“Apa yang berlaku dalam himpunan kleptokrasi diibaratkan makan diri sendiri kerana jumlah yang hadir jauh lebih rendah daripada yang disasarkan.

“Kemungkinan kerana isu kleptrokasi tidak menarik minat kerana sudah terlalu lama dicanang tetapi bukti masih jauh untuk dipamerkan,” katanya kepada Antarapos.

Himpunan itu membuka tirainya sekitar jam 4.00 petang dengan acara kemuncaknya pada sebelah malam dengan membariskan tokoh terkenal pembangkang seperti Dr Mahathir, Presiden PH Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP Lim Kit Siang dan sebagainya.

Ia adalah himpunan kemuncak selepas gabungan itu mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada rakyat berhubung skandal 1MDB.

Ucapan pemimpin-pemimpin pembangkang pada malam tadi juga banyak mengitar semula tuduhan-tuduhannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib sebelum ini menegaskan di pihaknya tidak ada salah laku yang berlaku dan beliau sendiri mengarahkan Parlimen dan pihak yang berkenaan menyiasat kemelut kewangan 1MDB.

Siasatan dilakukan tanpa campur tangan dan tindakan-tindakan tertentu sudah pun di ambil manakala 1MDB sendiri melalui proses rasionalisasi.

Tambah Azmi lagi, ketiadaan penyokong PAS juga memburukkan lagi kehadiran peserta sekaligus membuktikan bahawa PH sebenarnya bergantung kepada parti berteras Islam itu setiap kali perhimpunan.

“Tapi satu sebab kenapa sambutan agak hambar yang boleh dipercayai ialah ketiadaan penyokong PAS kerana dua minggu sebelum ini himpunan PAS di Terengganu mampu himpunkan 100k penyokong.

“Jika disimpulkan kesan himpunan kleptrokasi memberi gambaran negatif kepada PH dan memberi lonjakan kepada PAS bahawa sebelum ini kehebatan PH sebenarnya adalah kerana sokongan PAS,” ujar beliau. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.