Dayang Bakal ‘Gegar’ Singapura

BERADA dalam kelas tersendiri, selayaknya ratu R&B negara, Dayang Nurfaizah diangkat sebagai antara penyanyi wanita paling berjaya abad ini. Tidak mengenal putus asa, masyarakat menjadi saksi kisah jatuh bangun sepanjang penglibatan beliau dalam bidang seni suara.

Nama anak kelahiran Kuching, Sarawak ini cukup besar dan terkenal bukan sahaja di Malaysia, malah negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei. Jika tidak, masakan Dayang terus menerima undangan untuk menghiburkan peminatnya di luar negara.

 

Tanggal satu Januari 2018 bakal menyaksikan penyanyi bersuara merdu ini mencatat sejarah tersendiri apabila diberi penghormatan untuk menjayakan konsert solo bertempat di Esplanade Concert Hall, Singapura.

Kali pertama beraksi secara berseorangan di pentas berprestij negara seberang itu, pastinya Dayang menjanjikan kelainan dan keistimewaan pada persembahannya nanti.

Ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Drama Dia, Dayang memberitahu, dia kini fokus terhadap persediaan menjelang konsert itu nanti. Katanya, beliau mahu memberi persembahan terbaik memandangkan kali pertama beraksi dalam konsert sendiri di lokasi tersebut.

“Persediaan masih berjalan dan pemilihan lagu sudah selesai dilakukan. Sekarang kami fokus pada susunan setiap lagu yang akan dinyanyikan nanti.

“Saya mahu tampilkan kelainan pada konsert ini dan kerana itu lagu-lagu yang akan saya nyanyikan nanti bakal dipersembahkan dengan susunan muzik yang lebih istimewa. Itu antara kekuatan konsert itu nanti,” katanya teruja.

Dalam pada itu, Dayang memberitahu konsert itu nanti tidak akan melibatkan mana-mana penyanyi undangan. Katanya, dia mahukan penonton menikmati persembahan yang seratus peratus daripadanya.

“Selain itu, saya akan bekerjasama dengan pemuzik dari Malaysia termasuk pengarah muzik tersohor, Jenny Chin. Kerjasama ini memudahkan proses latihan dan persediaan,” katanya lagi.

Disoal tentang pemilihan lagu Dia sebagai lagu tema bagi telenovela Dia yang bakal ditayangkan di TV3 bermula hari ini (14 Oktober), Dayang bersyukur kerana sekali lagi lagu nyanyiannya diberi kepercayaan untuk menjadi lagu tema drama yang dinantikan ramai.

“Lagu ini merupakan antara yang dimuatkan dalam album terbaru saya. Pemilihannya sebagai lagu tema drama Dia sedikit sebanyak akan mempopularkan lagu ini dalam kalangan pendengar tempatan,” jelasnya.-Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.