AS Hantar Aset Perang Ke Korea

SEOUL – Amerika Syarikat dan Korea Selatan akan mengadakan satu latihan tentera laut secara besar-besaran di Laut Jepun berdekatan semenanjung Korea pada minggu hadapan, kata Tentera Laut AS semalam.

Latihan membabitkan dua negara itu dilihat sebagai satu ‘pertunjukan’ kuasa baharu kepada Korea Utara kerana giat melaksanakan ujian misil dan persenjataan nuklear yang mencetuskan ketegangan sejak beberapa bulan lalu, lapor Kosmo.

Pyongyang melakukan ujian nuklear dan misil keenam yang paling kuat setakat ini bagi me­nunjukkan keingkarannya terhadap sekatan-sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

AS telah menggandakan latihan ketenteraan bersama dua sekutunya iaitu Korea Selatan dan Jepun di wilayah berkenaan.

Armada Ketujuh Tentera Laut AS dalam satu kenyataan menyatakan kapal pengangkut pesawat USS Ronald Reagan dan dua kapal pemusnah AS akan mengambil bahagian dalam latihan itu bersama-sama beberapa kapal perang Korea Selatan.

Latihan dijadualkan bermula 16 Oktober hingga 26 Oktober di Laut Jepun dan Laut Kuning itu akan mempromosi ‘komunikasi, saling kendali dan kerjasama’, menurut kenyataan sama.

Langkah berkenaan mungkin akan mencetuskan kemarahan Pyongyang memandangkan pemerintah negara komunis itu pernah memberi amaran terhadap sebarang latihan ketentera­an bersama.

“Jika pihak penjajah AS dan rakan boneka Korea Selatan me­nunjukkan sikap agresif perang nuklear ke atas kami, ia hanya mempercepatkan kematian mereka,” menurut agensi media rasmi Korea Utara, KCNA.

Semalam, sebuah kapal selam nuklear USS Michigan tiba di sebuah pelabuhan di Busan, Korea Selatan, menurut laporan agensi berita Yonhap, iaitu selepas beberapa hari kapal selam nuklear USS Tuscon kembali sebaik selesai lawatan selama lima hari di situ.

Awal minggu ini, dua jet pengebom supersonik AS terbang di semenanjung Korea menandakan latihan udara pertama bersama Jepun dan Korea Selatan. Misi itu diadakan selepas 17 hari empat pesawat tempur F-35B dan dua jet pengebom B-1B AS terbang di kawasan berkenaan.

Pada Selasa lalu, Presiden AS, Donald Trump membincangkan satu ‘rangkaian pilihan’ bersama pasukan keselamatan kebangsaannya sebagai respons terhadap ujian misil dan nuklear terbaru Korea Selatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.