4 Sampul Buku Malaysia Dalam 10 Rekaan Terbaik Dunia

FRANKFURT — Kejayaan empat buah buku Malaysia berada dalam senarai akhir pertandingan ‘The Beauty and The Book Award 2017’ anjuran Book Art Foundation dan Pesta Buku Frankfurt (FBF) 2017 telah berjaya menempatkan nama pemain industri buku negara di mata dunia. 

Ketua delegasi Malaysia ke FBF 2017, Abdul Wahab Ibrahim berkata walaupun gagal muncul sebagai pemenang, namun keempat-empat rekaan sampul buku Malaysia berada dalam senarai 10 rekaan terbaik, lapor Bernama.

Katanya, kejayaan itu merupakan platform terbaik buat pemain industri buku negara apabila mara ke peringkat akhir bersama enam pencalonan lain dari Jerman.

“Mungkin tahun depan kita adakan satu pemilihan di peringkat kebangsaan dan kita calonkan satu atau dua buku yang ada potensi untuk menang. Mungkin dengan cara ini kita boleh menang,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian plak kepada pemenang.

‘The Beauty and The Book Award 2017’ dimenangi buku ‘Im Licht – Im Bild’ hasil penulis Jerman, Bernhard C Striebel, terbitan Edition Monhardt.

Buku Malaysia yang berada dalam senarai 10 calon akhir adalah ‘Modern Mosques in Malaysia Between Regionalism and Eclectism’ oleh Wael A Yousef Mousa, terbitan Penerbitan Universiti Sains Malaysia (USM); ‘Alegori Rumah Api’ oleh Mat Luthfi (PTS); ‘Kias Tersirat: Perantauan Bertemu Melayu dan Islam di Dunia Melayu Benua’ tulisan Herman Abdullah (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia) serta ‘Tulis! Jangan Takut-takut’ oleh Zamri Mohamad (Legacy Publishing).

Dalam pada itu, ketua Bahagian Pemasaran Penerbitan USM, Mohd Yusri Kamaruddin berkata kejayaan berada dalam senarai akhir itu bakal menjadi batu loncatan untuk pemain industri mempengaruhi peminat buku tanah air.

Dalam masa sama, beliau melahirkan penghargaan kepada pereka kulit buku ‘Modern Mosques in Malaysia Between Regionalism and Eclectism’ iaitu Nor Afzan Yahya.

FBF 2017 dirasmi secara bersama oleh canselor Jerman, Angela Markel dan presiden Perancis, Emmanuel Macron dengan Perancis menjadi negara tamu FBF kali ini.

Diadakan selama lima hari bermula 11 Okt sehingga esok, FBF 2017 menjadi platform penjualan hak cipta penulisan bagi kira-kira 300,000 penerbit buku dari seluruh dunia. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.