Umno Serah Bantahan Kajian Persempadanan Semula SPR

PUTRAJAYA – Umno selesai mengemukakan bantahan berhubung kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata setiausaha agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

 

Beliau berkata tempoh bantahan yang berakhir semalam selesai dilakukan melalui Umno negeri dan bantahan 100 pengundi berdaftar dalam setiap satu kawasan tertentu.

 

“Bantahan boleh dibuat melalui 3 cara iaitu melalui negeri, pihak berkuasa tempatan dan 100 pengundi di sesuatu kawasan maka Umno menyuarakan bantahan melalui saluran undang-undang disediakan,” katanya kepada media selepas merasmikan program Putrajaya Community Ride di sini hari ini.

 

“Semua Umno negeri mengemukakan bantahan manakala negeri diperintah pembangkang seperti Selangor, kita mengumpulkan bantahan melalui 100 pengundi berdaftar di sesuatu kawasan,” katanya.

 

SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula 15 September.

 

Sebelum ini, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

 

SPR mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selama sebulan bermula 15 September hingga 14 Oktober (semalam). – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.