Warga Asing ‘Diserang’ Pemandu Teksi Gara-Gara Isu Uber

Kuala Lumpur – Nampaknya ketegangan antara pengusaha teksi berdaftar dan pemandu Uber masih belum reda. Terbaharu, aduan yang dibuat oleh seorang warga asing berhubung sikap pemandu teksi mendapat perhatian.

 

Warga asing berkenaan yang menggunakan nama Mate Valtr di akaun Twitter, menceritakan bagaimana dia dan teman wanitanya ‘diserang’ sekumpulan empat orang pemandu teksi pada 12 Oktober lalu.

 

Semuanya gara-gara silap faham apabila mereka menyangka dia dan teman wanitanya menggunakan khidmat Uber untuk mengambil mereka di Mid Valley.

 

Menurut Mate, dia dan teman wanitanya ketika itu dijemput oleh seorang rakan, namun terpaksa menghadapi konfrontasi pemandu-pemandu teksi berkenaan selama hampir 30 minit. Situasi tegang itu hanya dapat dileraikan selepas seorang anggota polis dipanggil.

 

Mate yang sudah tiga tahun menetap di Malaysia menganggap situasi tersebut sebagai tidak masuk akal dan meminta agar isu itu diselesaikan secepat mungkin memandangkan ia bukan kali pertama berlaku.

 

Akaun Twitter Aduan SPAD dalam reaksi terhadap aduan Mate memberitahu, pihak mereka sudah memulakan siasatan berhubung isu tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.