Ramli Sarip Dipilih Sebagai Otai ‘Rockers’

Cyberjaya – Penghibur legenda yang diberi jolokan Papa Rock, Datuk Ramli Sarip hari ini diumumkan sebagai penasihat atau Otai bagi menerajui program realiti, Rockers terbitan Telekom Malaysia Berhad dan KRU Studios Sdn. Bhd. yang akan memulakan siarannya bermula 16 November ini.

 

Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata pemilihan Ramli yang merupakan vokalis kumpulan rock legenda, Sweet Charity itu adalah bertepatan memandangkan penghibur terkenal itu cukup sinonim dengan genre rock.

 

Bahkan, Norman percaya dan optimis bahawa dengan pemilihan Ramli itu akan memantapkan lagi perjalanan program berkenaan yang dapat membangkitkan rasa teruja kepada peminat muzik rock dan penonton program itu kelak.

 

“Apabila memikirkan nama yang paling layak untuk mengepalai program ini, sememangnya bayangan wajah Ramli Sarip yang terlintas di depan mata dan namanya juga adalah pilihan pertama.

 

“Saya sendiri teruja dengan Rockers kerana program ini bakal melahirkan lebih ramai pelapis penyanyi rock sekaligus dapat terus memeriahkan industri muzik tempatan dengan genre diminati ramai itu.

 

“Di kala program realiti sedia ada yang lebih cenderung melahirkan penyanyi generasi baharu dalam genre pop, tradisional dan sebagainya tetapi Rockers mahu menongkah arus dengan memilih genre rock sebagai pertaruhan program ini,” katanya yang memberitahu Ramli mengambil masa selama sebulan untuk menerima tawaran berkenaan.

 

Selain pengumuman Ramli sebagai otai, sidang media yang berlangsung di sini pagi tadi itu turut mengumumkan pemilihan bekas personaliti radio popular, Kudsia Kahar dan vokalis kumpulan Spider, Tam Mustafah selaku juri tetap Rockers.

 

Bukan itu sahaja, bekas penyampai radio Fly FM, Hunny Madu turut diumumkan sebagai pengacara sementara Myo sebagai hos program jurnal harian Rockers dan pelakon versatile Soffi Jikan selaku Abang Long.

 

Turut hadir Timbalan Presiden Operasi Perniagaan dan Media Baru TM, Emily Wee.

 

Mengulas lanjut tentang proses uji bakat peserta musim pertama Rockers, Norman tidak menyangka sambutan yang diberikan begitu menggalakkan terutama daripada golongan wanita.

 

“Walaupun majoriti peserta yang hadir adalah lelaki, namun bilangan rockers wanita yang menunjukkan minat mereka juga tidak kurang hebatnya dan membuatkan kami begitu teruja dengan sambutan diberikan.

 

“Malah ada juga mereka yang berumur 28 tahun ke atas juga menyatakan minat untuk menyertai program ini tetapi seperti mana syarat kelayakannya, ia tidak boleh melebihi 28 tahun.

 

“Kita akan lihat dulu bagaimana sambutan untuk musim pertama ini. Seandainya mendapat sambutan hebat, mungkin di masa hadapan kami tidak teragak-agak untuk meningkatkan syarat umur kelayakan program ini,” kata anak sulung daripada empat beradik itu lagi.

 

Sementara itu, Emily Wee pula berkata, pihaknya sebulat suara bersetuju memilih Ramli adalah kerana pengalaman luas yang dimiliki oleh penyanyi lagu Teratai  dan Istilah Bercinta itu selain menjadi salah seorang ikon seni paling berjaya di negara ini.

 

Episod pertama jurnal harian Rockers akan ditayangkan pada 16 November ini setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 8.30 malam diikuti dengan konsert mingguan pertama pada setiap hari Ahad pukul 8.30 malam bermula pada 22 November secara eksklusif di HyppTV (saluran 116).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.