PKR Masih Cuba ‘Pujuk’ PAS – Azmin

Petaling Jaya – PKR dan PAS masih berunding berhubung isu penyertaan parti Islam itu dalam Pakatan Harapan, kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

 

Pakatan Harapan kini dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

 

“Kita akan teruskan perbincangan dan masih berjalan dengan baik”, katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz yang mahu DAP dan Amanah menghormati PAS sekiranya mahu parti itu menyertai Pakatan Harapan.

 

Nik Abduh semalam berkata, kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang ketika ini berpunca daripada serangan DAP terhadap pucuk pimpinan parti Islam itu.

 

Tambah beliau, bekas-bekas pemimpin PAS yang kini menyertai dan menerajui Amanah tidak segan silu mengkritik Majlis Syura Ulama.

 

Hal itu membuatkan PAS berkecil hati dan terpaksa bertindak demi mempertahankan maruah pemimpin mereka.

 

“Dalam sejarah PAS selama ini, tidak pernah berlaku Majlis Syura Ulama dikritik secara terbuka oleh pemimpin parti.

 

“Apabila berlaku tidak menghormati, ahli bertindak balas. Jadi, bagaimana hendak suruh mereka kembali?” kata Nik Abduh yang berkata pada satu sesi soal jawab Bicara Harakah semalam.

 

Dalam perkembangan lain, Azmin menyambut baik penyertaan Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang menyertai PKR hari ini.

 

PKR katanya sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang sudi untuk membawa perubahan kepada imej politik negara.

 

“Kita sentisa bersikap terbuka untuk semua parti yang berpegang kepada prinsip untuk membawa perubahan.

 

“Sebab itu hari ini merupakan hari yang amat bersejarah ktia ada seroang tokoh yang sentiasa mengambil pendirian yang sederhana yang sentiasa mempertahankan prinsip keadilan dna pastinya ia akan memperkukuhkan usaha kita untuk muafakat dengan semua parti politik”, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.