PAS, Perkasa Tidak Jalin Hubungan Politik

SHAH ALAM –  Pertemuan antara Pas dan Perkasa sekadar bersependapat dalam isu nasional tanpa niat menjalinkan kerjasama dalam soal politik, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

 

Katanya, Pas telah lama membangkitkan perkara itu dan merupakan pendirian parti sebelum ini.

 

“Tiga perkara yang dipersetujui bersama, soal RCI dalam isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), Sosma dan perjanjian TPP (Perkongsian Trans-Pasifik) adalah isu yang ditentang oleh Pas sebelum ini,” katanya.

 

Menurutnya, Pas tiada hubungan politik dengan Perkasa dan itu pendirian diambil kepimpinan Pas pusat.

 

Jelas Takiyuddin, pertemuan itu atas permintaan Perkasa sebagai kunjung hormat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

“Polisi kita terbuka, menerima kunjungan pelbagai pihak sama ada NGO itu Melayu, Cina, India dan luar negara juga kita terima.

 

“Perkasa adalah NGO dan Pas adalah parti politik. Pertemuan itu atas dasar NGO sahaja bukan politik,” katanya lagi.

 

Tambahnya, Pas bukanlah parti yang terdesak untuk meraih sokongan seperti mana yang didakwa segelintir pihak.

 

“Tidak sama sekali, kita parti politik sudah lama, lebih 60 tahun. Kita ada penyokong kita sendiri. Ahli kita sahaja lebih sejuta,” katanya.

 

Takiyuddin berkata, penganjuran Kongres Rakyat baru-baru ini membuktikan parti itu mendapat sokongan lebih 200 NGO.

 

“Kalau kita nak sokongan Perkasa, tidak betul sama sekali. Kita ada 200 NGO,  kecil, besar yang terdiri daripada pelbagai kaum menyokong kita.

 

“Kita parti politik lama, sudah banyak jatuh bangun. Kerjasama kita dengan sesiapa sahaja, tidak semestinya hubungan politik. Dakwaan itu tidak benar,” katanya.

 

Kelmarin, kepimpinan Perkasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Abdul Hadi dan pimpinan Pas di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut.

 

Pada pertemuan itu, tiga perkara dipersetujui bersama iaitu menyambut baik titah Majlis Raja-raja Melayu berkenaan isu membabitkan syarikat 1MDB.

 

Dua perkara lain yang dipersetujui adalah membebaskan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, dan peguamnya, Matthias Chang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma 2012, serta meminta Putrajaya benar-benar telus dalam isu perjanjian TPP. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.