Nahas MH17: Ukraine Pertahan Tindakan 
Tidak Tutup Ruang Udara

NEW YORK – Ukraine mempertahankan keputusannya untuk tidak menutup ruang udara di timur negara itu yang menjadi lokasi insiden pesawat syarikat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh.

 

Selain itu, negara terbabit turut mendakwa, pihaknya tidak menge­tahui kewujudan senjata antipesawat, BUK yang digunakan di kawasan berkenaan sekali gus menjadikan jet penumpang itu sebagai sasaran.

 

“Tiada sesiapa pun pada masa itu menyedari wujudnya jentera BUK di lokasi berkenaan dan keupayaan peluru antipesawat yang canggih itu.

 

“Tiada sesiapa pada ketika itu juga mempunyai pengetahuan mengenai ancaman sebegitu. Semua orang benar-benar yakin itu sebuah senjata konvensional biasa,” kata Menteri Luar Ukraine, Pavlo Klimkin kepada wartawan semasa satu lawatan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

 

Walaupun laporan akhir tragedi MH17 dibentangkan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) semalam tidak memutuskan pihak yang bersalah mengakibatkan nahas berkenaan, Klimkin berkata, Ukraine, Australia, Belanda, Malaysia, dan Belgium sedang mempertimbangkan pilihan lain untuk mengemukakan pendakwaan.

 

Pesawat MH17 ditembak jatuh oleh pelancar peluru berpandu BUK buatan Rusia di timur Ukraine pada Julai tahun lalu, mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

 

Lembaga keselamatan itu berkata, Ukraine sepatutnya menutup ruang udara di zon konflik, sebaliknya 61 penerbangan dikesan terus menggunakan laluan berkenaan yang diketahui berbahaya.

 

Pada Julai lalu, Rusia menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyekat penubuhan sebuah tribunal antarabangsa bagi mendakwa mereka yang disyaki menembak jatuh pesawat MH17. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.