Muhyiddin Nafi Buat Laporan Polis Mengenai 1MDB Esok

Kuala Lumpur – Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan khabar angin yang beliau dan 2 pemimpin Umno veteran lain akan membuat laporan polis berasingan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) esok.

 

Dua lagi yang dikatakan akan membuat laporan polis esok ialah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal.

 

Satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Muhyiddin oleh pentadbir halaman itu berbunyi: “Whatsapp yang tersebar mengenai laporan polis oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah PALSU”.

 

Menurut mesej di aplikasi Whatsapp itu, Muhyiddin bakal membuat laporan polis terhadap firma pelaburan milik negara yang sarat hutang itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur esok.

 

Shafie turut menafikan wujud rancangan sebegitu, kata pembantunya kepada sebuah portal : “Sila abaikan mesej yang sedang berlegar kerana ia tidak benar”.

 

Melalui pesanan ringkas itu Dr Mahathir, dikatakan akan membuat laporan polis terhadap 1MDB di Ibu Pejabat Polis Putrajaya, manakala Shafie dengan polis Brickfields.

 

Ketiga-tiganya, menurut mesej WhatsApp itu, akan berbuat demikian serentak pada jam 10 pagi esok, dan kemudiannya berkumpul di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dan membuat satu lagi laporan pada jam 2.30 petang.

 

Muhyiddin dan Shafie digugurkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada Kabinet pada Julai, selepas mereka secara terbuka mempersoalkan cara beliau mengendalikan penyelewengan kewangan yang didakwa dalam 1MDB.

 

Dr Mahathir sebelum ini berkata, beliau tidak bercadang membuat laporan polis terhadap Najib, yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

 

Pada Isnin, Dr Mahathir, Muhyiddin, Shafie dan tiga lagi pemimpin veteran Barisan Nasional mengadakan sidang akhbar bersama mengecam penggunaan undang-undang anti keganasan oleh Putrajaya terhadap dua pengkritik 1MDB – bekas ahli Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.

 

Turut hadir pada sidang media itu ialah veteran Umno dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas parti setiausaha agung Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Tan Sri Ong Tee Keat.

 

Mereka juga bercakap mengenai menjatuhkan Najib melalui undi tidak percaya di Parlimen, manakala Muhyiddin bercakap tentang budaya takut Umno yang menghalang ahli daripada bersuara mengenai salah laku pemimpin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.