Mazlan Aliman Sindir PAS Terpaksa ‘Bersilat’

Kuala Lumpur – Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman bersimpati dengan parti lamanya kerana terpaksa ‘bersilat’ dalam menepis segala dakwaan mengenai pendekatan politik PAS mutakhir ini.

 

“Saya amat bersimpati dengan rakan rakan PAS yang terpaksa ‘bersilat’ menepis segala dakwaan mengenai pendekatan PAS masa kini.

 

“Apa yang saya telah rasa atas segala tuduhan dan fitnah, peritnya kini dirasai oleh pimpinan dan ahli PAS,” nukil Mazlan di laman Facebooknya, pada Rabu.

 

Mazlan merujuk kepada kontroversi yang melanda PAS sebelum ini yang didakwa kononnya menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) PERKASA berkait isu-isu semasa.

 

Gambar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpeluk dengan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali juga menjadi viral di laman internet.

 

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad mengesahkan PAS tidak menjalinkan kerjasama dengan PERKASA dan kehadiran Ibrahim Ali ke ibu Pejabat PAS adalah sekadar ‘kunjungan mesra’ semata-mata.

 

Mazlan berkata, beliau terlebih dahulu melalui situasi seperti itu ketika menerajui NGO bersabit isu tanah Felda, ANAK.

 

ANAK adalah singkatan kepada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan.

 

“Pendekatan Ngo ANAK menemui tokoh tokoh negara seperti Tun Dr Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Kadir, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Dato’ Saifudin Abdullah di salah ertikan. Usaha ANAK mengangkat isu FELDA melalui engagement dengan berbagai pihak dianggap bersekongkol dengan puak puak zalim.

 

“Kebelakangan ini apabila parti lama saya, PAS membuat hubungan dengan Ngo melayu terutamanya ISMA dan PERKASA, mereka juga di cemuh. Samada tajuknya ‘kerjasama’, ‘kunjung hormat’, ‘meraikan tetamu’, dan lain lain, persepsi rakyat tentunya berbeza beza,” ujarnya lagi.

 

PAS akhir-akhir ini dilihat bersungguh-sungguh menonjolkan parti itu sebagai masih relevan meskipun disisihkan DAP dan PKR untuk menubuhkan Pakatan Harapan.

 

Pemimpin PAS juga bersilih ganti menyatakan keyakinan bahawa PAS tidak bersendirian dan masih mempunyai taring dalam arena politik negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.