Ketua Polis Negara Kesal Ali Parlimen Tidak Ambil Serius Ancaman ISIS

Kuala Lumpur – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengingatkan ancaman kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) di negara ini adalah sesuatu yang benar, sambil mengatakan ramai rakyat Malaysia, termasuk beberapa penggubal undang-undang, yang masih tidak memberi perhatian serius mengenainya.

 

“Sebenarnya, ada ramai di antara kita, termasuk wakil rakyat, yang tidak percaya dengan ancaman Isis ini.

 

“(Mereka fikir) ancaman Isis ialah sebahagian daripada drama kerajaan dan satu sandiwara. Itulah sebabnya kami memanggil mereka, supaya kami boleh memberi penjelasan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri forum tertutup dengan wakil rakyat dan organisasi bukan kerajaan (NGO) berkaitan jenayah di Maktab Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

 

“Sesi hari ini ialah untuk menerangkan kepada semua ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan NGO. Itulah objektifnya. Tetapi, kalau ada orang yang sengaja tidak mahu faham, saya sangat simpati dengan mereka,” katanya.

 

Khalid berkata, Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk menangani keganasan termasuk Akta Kesalahan Khas (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota).

 

“Kami tidak pernah bercakap untuk membawa balik ISA. Kita mempunyai undang-undang yang bagus sekarang, kita ada Pota dan Sosma,” katanya, merujuk kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), undang-undang digubal British pada 1957 untuk melawan ancaman komunis.

 

Beliau berkata, forum hari ini adalah untuk menerangkan mengenai trend dalam jenayah seperti penyeludupan dadah dan jenayah komersial serta penyebaran ideologi Isis di kalangan belia.

 

“Isis menggunakan media sosial untuk mempengaruhi belia kita supaya bukan hanya berjuang di Syria dan Iraq, tetapi untuk melancarkan serangan di negara kita,” katanya.

 

Polis setakat ini membuat banyak tangkapan di bawah Sosma terhadap mereka yang disyaki bersimpati dengan Isis dan mereka masih belum dibebaskan, katanya.

 

“(Mereka) masih ditahan bagi memastikan mereka tidak akan menjadi ancaman kepada negara dan rakyat.

 

“Kami tahu berapa ramai rakyat Malaysia yang terlibat dan kami tahu mereka cuba untuk mempengaruhi rakyat di sini untuk melancarkan serangan, seperti yang mereka cuba lakukan tempoh hari,” katanya.

 

Polis sebelum ini dilaporkan mengambil langkah lebih berjaga-jaga dan meningkatkan rondaan di Jalan Alor dan sekitar di ibu kota Kuala Lumpur, berikutan maklumat yang boleh dipercayai mengenai potensi serangan pengganas.

 

Ia susulan tangkapan beberapa penyokong Isis dan suspek militan sejak beberapa bulan lalu.

 

Satu sumber polis Kuala Lumpur berkata, serangan yang dirancang itu dipercayai merupakan tindak balas terhadap tindakan keras polis ke atas kumpulan militan itu.

 

Pada Ogos, polis Malaysia menahan 10 suspek ahli Isis dalam beberapa serangan di seluruh negara.

 

Menurut laporan, mereka yang ditahan termasuk 6 anggota keselamatan, seorang pereka dalaman dan seorang bekas guru tadika.

 

Suspek berkenaan iaitu 8 lelaki dan 2 wanita ditahan bahagian khas memerangi keganasan di 6 kawasan berasingan, termasuk Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.