Kenaikan Tol Sprint Tidak Dirujuk Kepada Lembaga Pengarah, Kata Sivarasa

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menaikkan kadar tol di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) tidak pernah dirujuk kepada lembaga pengarah untuk dibincangkan.

 

Menurut Ahli Lembaga Sprint, Sivarasa Rasiah, persoalan bahawa beliau yang juga Ahli Parlimen Subang menyokong kenaikan tol berkenaan tidak timbul sama sekali.

 

Jelasnya, pengurusan Sprint telah melaksanakan kenaikan tol menurut satu surat dariapda Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang diterima seminggu lalu yang telah maklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan bayar lebih pampasan kepada syarikat berkenaan.

 

“Oleh itu, Sprint boleh naikkan kadar tol selaras dengan kadar yang tertera dalam surat tersebut, dan syarikat bertanggung jawab untuk mengumumkan kadar kenaikan tol.

 

“Ekoran surat itu, kenaikan tol diumumkan oleh syarikat tetapi perkara itu tidak dirujuk sebelum itu kepada lembaga pengarah melalui pekeliling atau mesyuarat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sivarasa berkata demikian selepas beberapa pihak mengatakan bahawa beliau menyokong tindakan pengurusan Sprint menaikkan kadar tol yang berkuatkuasa hari ini.

 

Beliau merupakan anggota Lembaga Pengarah Sprint sebagai wakil Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) yang merupakan pemilik 20 peratus saham Sprint manakala Kumpulan Gamuda merupakan pemegang saham terbesar dengan memiliki baki 80 peratus saham.

 

Tambah, Sivarasa, beliau sememangnya tidak bersetuju dengan kenaikan tol yang telah diumumkan memandangkan keadaan ekonomi ketika ini yang bukan masa yang sesuai untuk menambahkan beban atas rakyat Selangor dan Malaysia dengan kenaikan kadar tol bertambah kenaikan harga barang yang berterusan dan juga Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

 

Ujar Sivarasa, beliau menganggap pendiriannya adalah selaras dengan pendirian Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

 

“Justeru, saya akan menulis kepada Pengerusi Sprint, Yusuff Daud untuk memanggil satu mesyuarat khas lembaga pengarah untuk membincang dan kaji semula perkara ini.

 

“Saya telah juga melaporkan perkara ini kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan akan melaksanakan apa-apa arahan lanjut daripada beliau,” tegasnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.