Geng Pembunuh Upahan Di Johor Tumpas

Johor Bahru – Polis mungkin telah melumpuhkan sebuah kumpulan yang disyaki ‘skuad pembunuh upahan’, hari ini, susulan penahanan dua lelaki dan rampasan empat pucuk pistol di dua lokasi berasingan, di Skudai, semalam.

 

Difahamkan, kedua-dua suspek itu yang berusia dalam lingkungan 40-an, dipercayai terlibat dalam beberapa kes tembakan maut di selatan Johor, sejak April lalu.

 

Kumpulan itu menjalankan kegiatan secara ‘undeground’, dengan anggotanya terdiri daripada individu kejam dan ganas.

 

Hasil siasatan juga mendapati, kumpulan itu berkait rapat dengan kumpulan kongsi gelap, Gang 21 yang dipercayai melakukan kegiatan jenayah lain, seperti mengedar dadah.

 

Malam semalam, Pasukan Petugas Khas Menangani Jenayah Terancang (STAFOC) dan anggota polis daripada pelbagai bahagian di Johor Baru Utara, melancarkan operasi dua jam, bermula jam 9.30 malam.

 

Dalam operasi itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Seri Orkid dan merampas tiga pistol separa automatik.

 

Susulan itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Ungku Tun Aminah dan menemui sepucuk lagi pistol sama jenis.

 

Difahamkan, beberapa pucuk pistol Glock 9mm adalah antara yang dirampas.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui Twitternya, mengucapkan tahniah kepada STAFOC dan pasukan polis Johor, atas kejayaan itu melalui akaun Twitternya.

 

“Syabas STAFOC dan JSJ Johor @PDRMsia tadi berjaya merampas 4 pucuk pistol di Tmn Skudai, JBaru dari ahli Kump Penjenayah. Go PDRM Go,” demikian tweet Khalid yang dipercayai berkaitan penahanan dan rampasan itu.

 

Menurut sumber, kedua-dua suspek itu dipercayai sebahagian daripada anggota sebuah kumpulan pembunuh upahan.

 

“Suspek-suspek itu ditahan semalam, susulan penahanan seorang daripada anggota geng mereka, baru-baru ini, berhubung kes culik dan bunuh seorang ahli perniagaan berusia 22 tahun, kira-kira dua minggu lalu,” kata sumber itu kepada The Rakyat Post, hari ini.

 

Sumber itu berkata, siasatan masih dijalankan terhadap tiga suspek yang dikatakan turut terlibat dalam beberapa kes tembakan di negeri lain.

 

“Setakat ini, penyiasat telah mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan lima kes tembakan di selatan Johor.

 

“Dua di Kulai, satu di Nusajaya dan dua di Johor Baru Selatan,” demikian kata sumber itu sambil menambah, lebih banyak penangkapan mungkin dilakukan tidak lama lagi.

 

Jelasnya, semua empat pucuk pistol itu telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor untuk dianalisis.

 

Pistol-pistol itu akan diperiksa nombor siri dan ujian balistik, bagi menentukan sama ada ia digunakan dalam beberapa kes tembakan di Johor.

 

Polis dijangka mengadakan sidang media sebaik sahaja siasatan selesai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.