Video: Di China Mereka Yang Menghasut Akan Dihukum Bunuh – Bung Mokhtar

Kuala Lumpur – Datuk Bung Mokhtar Radin menggesa Akta Hasutan dikekalkan, mengambil contoh mereka yang didapati menghasut di China akan dihukum tembak, namun di Malaysia mereka didapati melakukan kesalahan akan dibicarakan secara adil.

“Saya menegaskan, Akta Hasutan perlu dikekalkan untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam negara. Apa nak ditakutkan, mereka yang lakukan itu yang takut,” kata ahli Parlimen Kinabatangan itu.

“Ketika zaman Jepun, mereka ini akan ditembak di kepala. Di China, negara komunis, mereka yang didapati bersalah menghasut akan dihukum bunuh.

“Tapi di Malaysia, kita bicarakan dengan adil,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan 2015 di Parlimen semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukry dilaporkan berkata, akta itu masih dalam proses pindaan serta kajian oleh Jabatan Peguam Negara kerana kerajaan masih dalam proses mendapat maklum balas dan berbincang dengan pihak yang mempunyai kepentingan dalam hal tersebut.

Beliau dilaporkan berkata, kuasa pendakwaan terletak kepada Jabatan Peguam Negara seperti yang termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Sejak dahulu lagi, negara mengamalkan sistem pembahagian kuasa iaitu suatu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman. Keputusan dibuat tanpa campur tangan mana-mana pihak lain,” katanya.

Beliau berkata keputusan mengemukakan pertuduhan bagi mendakwa seseorang individu adalah berdasarkan keterangan serta fakta kejadian dan bukanlah atas desakan mana-mana pihak atau faktor lain.

Kerajaan katanya, tidak mengambil kira latar belakang agama, kaum atau kecenderungan politik individu berkenaan asalkan ia menepati terdapatnya elemen hasutan pada setiap kesalahan yang dilakukan.

Terdahulu Ahli Parlimen BN-Kinabatangan itu turut melahirkan kecewa dan terguris dengan tindakan biadap ahli parlimen DAP-Bandar Kuching, Chong Chieng Jen yang sebelum ini mengkritik dan mengeluarkan kenyataan tidak patriotik mengenai lagu kebangsaan yang dimainkan di panggung wayang.

Sebelum ini Chieng Jen di laman sosial Facebooknya antara lain menganggap tindakan memainkan lagu kebangsaan di panggung wayang sebagai ‘absolute disgrace and ridiculous’ (amat memalukan dan tidak masuk akal).

Ahli Parlimen itu juga mempersoal sama ada negara menuju ke era komunis.

Catatan itu dikongsi dan diulang twit oleh netizen yang majoritinya mengutuk kenyataannya.

Setelah menerima keceman hebat, Chieng Jen akhirnya memadam status tersebut daripada akaun Facebooknya dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan 2015 itu, Bung turut menolak membincangkan budget alternatif yang dibentangkan oleh pembangkang.

Beliau menyifatkan pembentangan budget itu sebagai khayalan dan retorik semata-mata.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.