Raja Azmi Dilarang Masuk UIAM

Kuala Lumpur – Penerbit terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman dilarang mengadakan pertemuan bersama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Kampus Kuantan.

Raja Azmi yang juga penulis novel ‘Karkuma’ sepatutnya dijadualkan bertemu pelajar di kampus berkenaan pada 18 Oktober 2014 bersempena dengan Hari Terbuka kampus itu di Kuantan.

Penglibatan Raja Azmi pada awalnya adalah bagi memberi pendedahan mengenai dunia penulisan, ulasan mengenai novel yang ditulisnya serta mengadakan sesi dialog bersama pelajar.

Sesi dialog antara lain membincangkan isi kandungan buku tersebut dan berkongsi pengalaman Raja Azmi sebagai seorang penulis.

Namun program berkenaan tidak dapat diteruskan kerana pihak pengurusan UIAM tidak membenarkan penglibatan Raja Azmi.

Menurut sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak penerbitan novel berkenaan, Pengarah Merpati Jingga, Faisal Mustaffa berkata pihak UIAM Kuantan melarang Raja Azmi mengadakan sesi dialog bersama pelajar atas alasan banyak novel karyanya, mengandungi unsur seks dan fantasi melampau.

Malah, pihak IUAM Kuantan juga mempersoalkan faedah pendedahan buku berkenaan kepada mahasiswa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbitan Merpati Jingga, Faisal diberitahu bahawa ia mencerminkan pandangan masyarakat terhadap UIA.

Katanya, UIAM Kampus Kuantan mempunyai sekatan dalam membenarkan seseorang itu ‘memasuki’ kampus dalam memupuk sikap matang para pelajar dan tidak mempunyai sikap yang terbuka.

“Pihak penerbit juga berpandangan bahawa pihak pengurusan UIAM Kuantan seolah-seolah berperanan sebagai polis moral yang membentuk acuan yang dikehendaki pihak UIAM Kuantan.

“Justeru, Merpati Jingga dengan sekaligus menarik balik penyertaan dalam semua program yang telah dipersetujui bersama UIAM Kuantan untuk acara tersebut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.