Polis Tahan 159 GRO Warga Asing, Di Kelab Malam Jalan P. Ramlee

Kuala Lumpur – Seramai 159 wanita dari pelbagai negara yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan anggota Maksiat, Bahagian Kongsi Gelap, Judi Dan Maksiat (D7) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah kelab hiburan di Jalan P. Ramlee, di sini, awal pagi tadi.

Ketika serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, kebanyakan wanita yang ditahan sedang leka melayan pelanggan dan ada di antara mereka sedang memikat pelancong luar untuk berkunjung ke kelab itu.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Roslee Chik berkata, semua wanita yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan visa pelajar untuk masuk ke dalam negara.

Menurut beliau, semua wanita yang ditahan adalah warga asing dari Vietnam 101 orang, Filipina 22 orang, Uzbekistan 21 orang, Thailand 5 orang, Indonesia 3 orang, Turkmenistan 2 orang dan masing-masing 1 orang dari Azerbaijan, Kzgrystan, Romania, China dan Iran.

“Kami percaya, wanita yang ditahan ini bekerja sebagai GRO dan memikat pelancong dalam dan luar negara, seterusnya membawa mereka untuk berhibur dalam kelab ini.

“Turut ditahan seorang lelaki tempatan dan kesemuanya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk siasatan,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan semalam, enam wanita warga China dan Mongolia serta seorang lelaki warga Bangladesh ditahan di kelab hiburan di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.20 pagi itu, seorang lelaki tempatan ditahan termasuk seorang yang dikehendaki polis Sungai Nibong atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Roslee berkata, ketika serbuan berasingan di sebuah kelab malam di Jalan Klang Lama pula, seramai 37 GRO dari Thailand dan Loas termasuk 17 lelaki warga asing dari Thailand, Bangladesh, Filipina dan Sri Lanka ditahan.

Katanya lagi, hasil serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu mendapati semua yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen perniagaan, kerja tanpa permit dan tiada pengenalan diri.

Menurutnya, semua yang ditahan di bawa ke Balai Polis Petaling Jaya untuk siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.