PAC Mahu SPRM Siasat ‘Rasuah’ Projek Sekolah

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati kelemahan Kementerian Pendidikan berhubung isu pengurusan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) di institusi pendidikan tidak membabitkan unsur rasuah.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata sebaliknya, hasil siasatan mendapati kelemahan kementerian itu seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 hanya membabitkan isu pentadbiran serta penganugerahan tender kontrak.

“Kita mendapati tidak ada unsur rasuah dalam pengurusan kawalan keselamatan. Cuma kita dapati jumlah tender yang besar dan kelonggaran daripada segi kontrak yang dikhuatiri mungkin boleh berlaku insiden rasuah.

“Sebab itu kita minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat. Itu pun sebenarnya berdasarkan laporan sebuah akhbar yang menyatakan ada syarikat kontraktor keselamatan sekolah yang membuat dakwaan ada amalan rasuah,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

PAC sebelum itu membentangkan laporan siasatan berhubung pengurusan PKK di institusi pendidikan dan sekolah di Dewan Rakyat yang mana laporan berkenaan turut diedarkan kepada media.

Jelas Nur Jazlan, PAC turut mencadangkan agar mana-mana syarikat kawalan keselamatan sekolah yang bermasalah tegar perlu disenarai hitam dan diberi penalti.

Katanya, kementerian juga disyor memberi penalti kepada syarikat kawalan keselamatan bermasalah tegar dalam pengurusan keselamatan sekolah.

“Usaha yang wajar perlu dibuat bagi memastikan syarikat yang dilantik berkeupayaan menjalankan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata Kementerian Pendidikan turut diarahkan supaya melakukan audit dalaman hujung tahun ini bagi memastikan penambahbaikan yang sedang dilakukan dilaksanakan dengan berkesan.

Menerusi syor PAC, kementerian itu turut disaran supaya tender kawalan keselamatan dilaksanakan secara prakelayakan iaitu hanya syarikat yang benar-benar mempunyai keupayaan dan pengalaman dipelawa mengambil bahagian dalam tender, katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendapati kementerian tersebut hanya membelanjakan RM2.052 bilion daripada RM3.689 bilion yang diperuntukkan tetapi pengurusan kontrak tidak teratur di tiga buah negeri.

Kementerian mendapatkan perkhidmatan kawalan keselamatan syarikat swasta bagi melaksanakan PKK tanpa senjata api di 35 premis institusi pendidikan.

Ini bagi membekalkan keselamatan yang mencukupi, mewujudkan persekitaran sekolah yang tenteram serta mendapatkan suasana pembelajaran yang kondusif.

Namun, dari Jun 2012 hingga September 2012, sembilan buah syarikat lewat menyerahkan Bon Pelaksanaan (BP) dan kontrak ditandatangani walaupun BP masih belum diterima.

Sementara itu, sebanyak 74% sekolah yang melibatkan 18 buah syarikat gagal mengemukakan maklumat pengawal kepada pihak audit.

Laporan mendapati 7% pengawal melebihi had umur yang dibenarkan, 6% tidak mengemukakan laporan kesihatan dan 59% tidak mengemukakan pengesahan mereka bebas daripada rekod jenayah.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-rasuah-dalam-isu-pengurusan-perkhidmatan-kawalan-keselamatan-sekolah#sthash.LJH8maq9.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.