Najib Hadiri ASEM 2014 Di Milan

Milan – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) 2014 di sini yang bertujuan mengeratkan hubungan dua hala antara negara-negara di rantau Asia dan Eropah.

ASEM 2014 akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin dari 53 negara dengan perbincangan kali ini tertumpu kepada isu-isu berkaitan pembangunan ekonomi dan pengangguran di sesetengah negara.

Duta Malaysia ke Itali, Datin Paduka Halimah Abdullah berkata, ketika menghadiri persidangan dua hari yang bermula esok itu, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan pada hari pertama dan turut mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa pemimpin negara.

“Najib dijadualkan bertemu dengan pemimpin dari Hungary, Finland, Perancis, Norway, Lithuania, Vietnam dan Itali di samping beberapa lagi pemimpin negara lain yang menunggu pengesahan,” katanya dalam sidang akhbar kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka tiba di sini pada 9 pagi ini (waktu tempatan).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.