Kes Letupan Di Bukit Bintang, ‘Ah Hai’ Tampil Beri Keterangan

Kuala Lumpur – Seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Ah Hai’ yang dicari polis berhubung kes serangan bom tangan di hadapan sebuah kelab malam, Sun Complex, Bukit Bintang, Khamis lepas, tampil memberi keterangan semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata ‘Ah Hai’ hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pada pukul 9 malam.

“Kenyataannya (Ah Hai) telah direkodkan sehingga pukul 11.45 malam. Dia (Ah Hai) didapati tidak mengalami kecederaan,” kata Khairi dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Terdahulu, Ah Hai yang dikenali sebagai ‘Top Imbi Gangster’ dicari polis kerana dipercayai menjadi sasaran utama suspek dalam kes letupan itu.

Setakat ini, percakapan saksi seramai 17 orang telah direkodkan dan pihak polis sedang meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, katanya.

“Ini termasuk CCTV di sekitar laluan tempat kejadian bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian ini. Penelitian CCTV ini turut disertai oleh unit Forensik Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Khairi menyatakan sehingga kini masih terdapat dua mangsa dirawat di hospital manakala 10 yang lain telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan.

Beliau berkata pihaknya memohon kerjasama daripada klinik atau hospital swasta yang ada menerima dan memberikan rawatan kepada mana-mana pesakit yang cedera akibat terkena serpihan bom supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Mereka yang mempunyai maklumat, cedera atau mengalami kerosakan harta benda semasa kejadian itu juga boleh tampil di balai polis berhampiran bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Dalam serangan bom tangan itu, seorang joki kereta, Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 lagi cedera termasuk pelancong asing.

Serangan dipercayai ada kaitan dengan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.