Jue Tidak Sabar Pulang, Terharu Ada Yang Menanti Di Tanah Air

Los Angeles – Aktres jelita Juliana Evans berkongsi kisah yang dia seronok selama menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat namun dalam pada itu dia tidak sabar mahu pulang ke tanah air yang dijangka hujung tahun ini.

Menurut gadis manis ini, sambil menimba ilmu disana, dia turut mengintai peluang berlakon dengan menghadiri uji bakat serta terbabit dalam kerja-kerja produksi.

“Saya seronok berada di sini kerana banyak pengalaman baru yang ditimba. Cara mereka bekerja juga sedikit berbeza daripada kita.

“Di sini juga ada ramai kenalan yang sering membantu saya, memberi peluang serta galakan kepada saya untuk bergiat aktif. Jadi tidak terasa sunyi melainkan rindu kepada keluarga dan teman-teman rapat.

“Bagaimanapun saya mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air kerana tanpa disangka walaupun tinggal jauh beribu batu dari Malaysia, ada pelbagai tawaran menarik menanti saya.

“Malah ada produser sanggup menunggu sehingga saya pulang dan baru mereka akan memulakan penggambaran. Ini sangat membuatkan saya terharu kerana saya fikir mungkin orang sudah tidak ingat kepada saya kerana bertahun juga menetap di LA.

“Insya-Allah saya akan terbabit dalam sebuah produksi filem hujung tahun ini”, katanya yang sebaik saja tamat pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Western Michigan, kemudiannya menyambung pula pengajian di Akademi Filem New York.

Jue menambah, sekembalinya ke tanah air nanti kerjaya seninya akan diuruskan sebuah syarikat pengurusan yang akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi. Bagaimanapun pada peringkat awal ini segala urusan tawaran dikendalikan oleh bekas Pegawai Perhubungan Awam Astro Shaw, Afdal Shahizad.

“Semestinya kepulangan saya untuk kembali aktif sekali gus berkongsi pengalaman serta ilmu saya ditimba saya di LA. Pada masa sama saya ingin melebarkan bakat lakonan di peringkat antarabanga jika ada rezeki,” katanya.

Salah satu tawaran menarik, Jue dikhabarkan juga bakal menandatangani kontrak sebagai duta produk kecantikan antarabangsa pada Januari 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.