Bunuh Pesakit Sebab Dengki

Rome – Seorang jururawat di sebuah hospital disyaki membunuh 38 pesakit selepas dituduh menyuntik seorang daripadanya menggunakan kalium klorida hanya kerana sikap pesakit atau keluarga mereka menyakitkan hatinya,lapor Mirror.uk.

Daniela Poggiali ditahan di Lugo, utara Itali selepas seorang pesakit berusia 78 tahun dimasukkan ke hospital kerana demam biasa, mati mengejut.

Berikutan kejadian itu, polis Itali sedang menyiasat dan memperluaskan skop membabitkan kematian 38 pesakit kerana disyaki dibunuh jururawat itu.

Terdapat laporan yang menyebut dia dipercayai membunuh pesakitnya menggunakan kalium, manakala seorang rakan sekerjanya pula memberitahu, Daniela pernah memintanya merakam gambarnya bersebelahan seorang pesakit yang baru meninggal dunia.

Jururawat berusia 42 tahun itu juga pernah secara berseloroh mahu memberikan kalium klorida kepada seorang pesakit yang tenat.

Daniela juga didakwa pernah memberi ubat pelawas buang air besar kepada pesakit sebelum menamatkan syifnya kerana dengan sengaja mahu menyusahkan rakan sekerja pada syif seterusnya.

Wanita ini menjadi suspek berikutan siasatan kes kematian mengejut pesakit di bawah jagaannya, Rosa Calderoni, 78, April lalu.

Ujian menunjukkan saluran darah pesara itu mengandungi sejumlah besar kalium klorida di mana jika ia diberi dalam dos tinggi boleh menyebabkan serangan jantung.

Bahan itu digunakan ke atas banduan yang menjalani hukuman mati di Amerika Syarikat.

Ketua Pendakwa Raya Alessandro Mancini memberitahu sidang akhbar, pihaknya berdepan dengan kesukaran dalam siasatan ke atas Daniela.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.