ADUN BN Serah Sebahagian Elaun Untuk Bantu Rakyat Palestin

Kota Bharu – Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan daripada Barisan Nasional Rabu menyerahkan RM27,600 sebagai sumbangan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang tertindas akibat kekejaman rejim zionis.

Sumbangan itu diserahkan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri itu Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebelum bermula persidangan dewan hari ini.

Ketika ditemui di luar dewan, Nozula berkata sumbangan itu hasil inisiatif 12 wakil BN di dewan itu sebagai tanda prihatin terhadap nasib rakyat Palestin itu.

“Ia merupakan sumbangan peribadi setiap anggota BN. Kita telah nyatakan secara ikhlas untuk menderma sebahagian daripada elaun wakil rakyat dan hari ini kita zahirkan keikhlasan Adun BN,” katanya.

Nozula menggesa 32 ADUN PAS dan seorang wakil rakyat PKR untuk turut sama berbuat demikian.

Semalam, persidangan DUN Kelantan sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.