15 Waris Mangsa MH17 Setuju Terima Pampasan

Kuala Lumpur – Daripada keseluruhan 298 penumpang pesawat malang Malaysia Airlines (MAS) MH17, keluarga 15 mangsa bersetuju menerima wang pampasan bernilai AS$50,000, menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Liow berkata kerajaan hanya menampung kos perbelanjaan 278 penjawat awam yang berada di Belanda dan Ukraine, manakala kos penghantaran pulang dan pampasan di bawah tanggungjawab MAS.

“Mengenai kos yang ditanggung oleh kerajaan, kerajaan hanya menanggung sebahagian kos perbelanjaan seperti tiket penerbangan, tempat penginapan dan makan minum penjawat-penjawat awam yang dihantar bertugas di Ukraine dan Belanda.

“Manakala kos selebihnya seperti urusan membawa balik jenazah telah diuruskan oleh Malaysia Airlines (MAS) dan kos perbelanjaan mengenainya masih belum dimuktamadkan,” kata Liow menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Fong juga bertanyakan kepada kementerian berkenaan perkembangan usaha mendakwa pihak bertanggungjawab ke mahkamah antarabangsa dan sejauh mana kos kerajaan menguruskan jenazah mangsa.

Liow berkata, amalan berkenaan merupakan konvensi dalam undang-undang penerbangan antarabangsa.

“Jumlah penuh berhubung pampasan kepada waris mangsa pesawat MH17, jumlah penuh dan akhir pampasan akan diuruskan oleh MAS, mengikuti undang-undang dan tertakluk kepada konvensyen yang berkaitan.

“Namun begitu, MAS menawarkan wang pendahuluan pampasan sejumlah AS$50,000 pada waris setiap penumpang,” katanya.

Pesawat MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh pada 17 Julai lalu, dan merupakan kejadian kedua melibatkan MAS dalam tempoh 5 bulan, selepas kehilangan penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.