13 Individu Ditangkap Malam Tadi, Kerana Ingin Sertai Kumpulan Militan IS

Kuala Lumpur – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan seramai 13 individu yang mahu menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq, telah ditangkap malam tadi.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan di sebuah restoran di Shah Alam bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 kerana mahu ke Syria menyertai perjuangan bersenjata.

“Dari pemantauan kita pihak polis kenalpasti 13 orang ini. Kita mendapat tahu mereka bersiap sedia bergerak ke Syria melalui Turki,” katanya.

Khalid berkata penangkapan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan berkaitan IS seramai 36 orang setakat ini sejak 28 April lalu.

Khalid turut berkata polis sudah memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya menutup beberapa laman web dan Facebook yang didakwa merekrut untuk perjuangan bersenjata di Syria.

Justeru Khalid turut mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan ajakan jihad kumpulan bersenjata ini.

“Kalau nak berjihad tak perlu ke Syria. Di sini juga boleh berjihad juga bantu polis banteras jenayah. Itu jihad juga,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Khalid menegaskan kes pengeboman di Bukit Bintang minggu lalu tidak ada kena mengena dengan kumpulan pengganas.

Beliau meminta semua pihak tidak membuat spekulasi dan menegaskan insiden itu sedang dalam siasatan.

“Ada lagi saksi yang kita dah kesan, insiden di Bukit Bintang ini tidak ada kena mengena dengan teroris dan militan. Ini tindakan pihak yang berdendam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.