Lelaki Bakar Motosikal Berang Teman Wanita Minta Putus Hubungan

LANGKAWI – Gara-gara berang kerana kekasihnya hendak memutuskan hubungan, seorang penganggur bertindak membakar sebuah motosikal yang dipinjamkannya kepada wanita itu dalam kejadian di Kuah di sini, tengah malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam semasa lelaki berusia 26 tahun itu pergi bertemu dengan teman wanitanya di hadapan sebuah kedai di Pandak Mayah, Kuah sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, semasa pertengkaran itu, wanita berusia 20-an tersebut telah menyatakan hasratnya untuk memutuskan hubungan cinta mereka.

“Lelaki itu kemudian bertindak membakar sebuah motosikal jenis Honda selepas membuka penutup minyak kenderaan tersebut. Selepas menyedari kehadiran polis dan bomba, dia melarikan diri,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terkini! Lim Kit Siang Bimbang Penyatuan UMNO dan PAS, Harap Hubungan Putus Sebelum PRU15

Menurut Mohd. Iqbal, hasil siasatan mendapati motosikal yang rentung dalam kebakaran itu merupakan motosikal curi yang dilaporkan hilang di Balai Polis Kuah di sini pada 18 Februari lalu.

“Lelaki itu berjaya ditangkap dan kita turut menahan teman wanitanya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, lelaki itu didapati memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) kerana khianat dengan api dan Seksyen 379A KK kerana curi motosikal,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.