Cadangan Hanya Untuk Warga Asing Beli Rumah, Bukan Beri Kerakyatan – Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak terikat untuk memberikan kerakyatan kepada warga asing sekiranya mereka dibenarkan untuk membeli unit hartanah terbengkalai di negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, sekiranya wujud keperluan untuk menjual unit rumah kepada warga asing, pembelian itu hanya dibenarkan di bawah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

“Sama ada ianya akan ditangani dengan dibuka (pembelian) di peringkat antarabangsa dan dikaitkan dengan MM2H ataupun sebagainya adalah kaedah-kaedah yang terpaksa difikirkan sekiranya terbukti bahawa memang tiada warga tempatan yang sanggup membelinya.

“Itu masalah yang perlu ditangani dan dicari penyelesaian tapi tak semestinya bila dijual itu maka yang membelinya semestinya diberikan kerakyatan,” katanya kelmarin.

Terkini! Lim Kit Siang Bimbang Penyatuan UMNO dan PAS, Harap Hubungan Putus Sebelum PRU15

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk pembeli dari China dan Hong Kong adalah bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual dan masih di peringkat cadangan.

Menurut Zuraida, kempen yang terhad untuk rumah mewah tidak terjual itu baru dibincangkan kementeriannya dan cadangan kempen itu merupakan maklum balas awal hasil lawatannya ke Hong Kong dan China baru-baru ini.

Jelas Zuraida, HOC yang mahu dibuka kepada pembeli luar negara juga adalah bagi rumah yang berharga lebih RM1 juta.

Khalid juga berkata, cadangan untuk menjual lambakan kediaman tempatan kepada warga asing adalah salah satu jalan penyelesaian untuk mengelak gambaran buruk kepada pasaran hartanah di negara ini.

“Dengan adanya rumah-rumah yang kosong terbengkalai yang akan juga memberi satu gambaran yang tidak baik terhadap pasaran hartanah di negara ini.

“Apabila ada rumah-rumah yang tidak terjual kepada rakyat tempatan, tetapi kalau masih tidak berjaya, maka sememangnya pihak kerajaan mesti memikirkan dari segi kepentingan pemaju itu juga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.