Bob Lokman Teruja Penyatuan Kerjasama UMNO dan PAS Jadi Kenyataan

KUALA LUMPUR – Artis dan juga aktivis politik, Bob Lokman menzahirkan rasa teruja dengan perpaduan ummah yang dimeterai antara UMNO dan Pas semalam.

Katanya, apabila dimaklumkan mengenai perancangan itu, beliau pada mulanya tidak percaya UMNO dan Pas akan bersatu sehinggalah apa yang dilihatnya hari ini ia menjadi kenyataan.

Namun beliau mengingatkan orang Melayu dan Islam bahawa ada pihak tertentu yang mahu menggagalkan perancangan itu dengan membuat momokan kononnya penyatuan itu bersifat perkauman.

“Saya nasihat pihak berkenaan, jangan reka sebarang provokasi, jangan kacau agama Islam, ia sangat sensitif dan contohi penjajah British yang takut apabila Islam bangkit,” katanya dalam Wacana Intelek sempena Himpunan Penyatuan Ummah di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Bob Lokman menyatakan, beliau mempunyai ramai kawan dalam UMNO dan apabila parti itu kalah pada PRU-14, beliau mengambil sikap melihat siapa antara mereka yang melarikan diri dari parti berkenaan.

“Apabila UMNO kalah, saya tengok siapa yang bertahan.. rupanya ramai yang lari bila merasakan mereka berada dalam keadaan terancam, dengan alasan nak pertahankan aset,” katanya.

Beliau turut menaruh harapan agar penyatuan itu bukan untuk jangka pendek sebaliknya perlu disimpul mati hingga selama-lamanya kerana gabungan itu sangat baik dan dituntut oleh Islam.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Syahir Che Sulaiman menyangkal kenyataan beberapa menteri Pakatan Harapan (PH) kononnya umat Islam dan orang Melayu memboikot produk bukan muslim.

Katanya, dari awal kempen utamakan membeli produk Muslim yang dilancarkan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya, tidak ada istilah boikot sama sekali.

“Kita hanya utamakan beli barang Muslim, sebab itu kita kempen Buy Muslim First (BMF). Kalau tak ada beli produk Muslim, kita beli yang bukan Muslim.

“Tak ada istilah boikot tapi pihak sebelah sana cuba menimbulkan suasana panik dengan mencanang kononnya orang Melayu, umat Islam memboikot barangan mereka,” katanya.

Beliau sedih dengan sikap sesetengah menteri dari bangsa Melayu yang takut hendak menyatakan perkara sebenar kepada rakan bukan Muslim bahawa apa yang berlaku hari ini bukan boikot.

“Menteri (Melayu) ini takut, nak jaga hati. Ada menteri kata tindakan orang Melayu dan Islam ini boleh mencetuskan polarisasi kaum,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.