“Syukur Saya Tiada Jawatan Dalam Kerajaan”, Respon Izzah Isu Nepotisme

SEBERANG JAYA – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menegaskan beliau lebih cenderung menjadi wakil rakyat untuk terus menyuarakan isu-isu rakyat yang memerlukan pembelaan. 

“Saya sudah katakan sebelum ini bahawa hanya ingin menjadi wakil rakyat dan menyuarakan isu mereka,”katanya ketika merasmikan Program Gotong Royong di Taman Sembilang di Seberang Jaya, hari ini.

Reaksi itu diberikan di kala isu nepotisme dalam PKR hangat diperkatakan, susulan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bapanya, yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dalam usaha untuk kembali ke Parlimen, sekaligus membolehkannya menjadi Perdana Menteri.

Sebelum ini, bekas Pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) mengenai bahaya nepotisme susulan keputusan mengadakan PRK Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke parlimen.

Ambiga berkata, ia tidak akan dianggap nepotisme sekiranya Anwar; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah hanya merupakan ahli parlimen, namun ia akan berlaku sekiranya mereka mempunyai jawatan dalam kerajaan.

“Syukur saya tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan kerana telah berkali-kali saya tekankan bahawa tujuan saya adalah untuk menjadi wakil rakyat dan menyuarakan isu berkaitan mereka,”ujar Izzah lagi.

Bagaimanapun Izzah berkata beliau bersikap terbuka dengan pandangan semua pihak. 

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dalam kenyataannya sebelum ini berkata, Anwar tidak akan meminta jawatan dalam kerajaan walaupun jika menang di PRK Port Dickson.

Sebelum ini wujud spekulasi mengatakan Anwar akan menuntut jawatan jika berjaya kembali ke Parlimen, apatah lagi beliau diuar-uarkan akan menggalas jawatan Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.