Si Cilik Viral, Fatimah Fasih 3 Bahasa

KUALA LUMPUR: Populariti diraih si comel, Fatimah Omar Mukhlis, 4, di laman sosial memang cukup hebat apabila Instagram yang sering menampilkan keletah kanak-kanak perempuan itu dan adik-beradiknya diikuti hampir 600,000 orang.

Dilahirkan di Birmingham, United Kingdom (UK), Fatimah menarik perhatian ramai kerana tidak melupakan bahasa Melayu walaupun membesar di perantauan. Dia juga fasih ‘kecek kelate’ hasil didikan ibu bapanya yang tidak mahu anak mereka melupakan bahasa ibunda.

Selain Melayu, Fatimah juga fasih berbahasa Inggeris dan Siam.

Pengaruh dan kemasyhurannya di media sosial membolehkan kanak-kanak ini layak bersaing dalam kategori online, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31, Personaliti Media Sosial Popular.

Fatimah adalah calon paling muda dalam kategori itu yang antara lain turut menyenaraikan Mohd Nasrul Faiz Abu Azal (Faiz Dickie), Yusof Hashim (Ucopppp) dan adik Neelofa, Nur Ameera Khan (Little Miss Khan).

Malah, Fatimah antara calon dengan undian tertinggi ketika penganjur, BH, mengumumkan senarai Top 20 anugerah berkenaan, hasil undian peminat sehingga 13 September lalu. Undian masih dibuka di laman sesawang www.abpbh.com.mysehingga 25 September ini.

Menurut ibunya, Nor Ashila Mahamed Ismail, mereka sememangnya terkejut apabila melihat pengumuman berkenaan.

“Saya sendiri tidak percaya pada mulanya selepas melihat analisis keputusan itu. Maklum saja, dia masih kecil jika hendak dibandingkan dengan calon lain. Alhamdulillah, ramai orang menyayangi dirinya.

“Kami sendiri sebenarnya terkejut apabila namanya turut dicalonkan. Pada mulanya, kami cuba terangkan kepadanya mengenai perkara itu, tetapi dia tidak faham. Hanya selepas membuka komputer riba dan menunjukkan namanya di laman rasmi ABPBH, barulah dia faham.

“Lucunya, dia tanya kenapa adik-beradiknya yang lain tidak dicalonkan? Selain itu, dia juga hendak tahu kenapa calon lain sudah dewasa dan hanya dirinya yang masih kecil?” kata Nor Ashila ketika dihubungi BH Online menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, mereka amat berterima kasih kepada ABPBH yang mencalonkan nama anak perempuan mereka.

“Walaupun jauh di UK, kami berasa terharu kerana tidak dilupakan,” katanya sambil memberitahu, Fatimah mula menunjukkan gelagatnya yang bijak berkata-kata di depan kamera sekitar 2016.

Video pertama Fatimah tular pada 9 Mei tahun lalu ketika dia memasak cucur pisang bersama bapanya. Kemudian, pelbagai video yang dimuat naik turut viral hingga membuatkan Instagram TheFamily.UK jadi terkenal.

“Ketika itu, dia dan saya mula menghasilkan video memasak. Namun, dia mula dikenali menerusi Instagram adik saya, Adam (finalis rancangan realiti masakan, Hero Oven musim kedua, siaran TV3). Mereka memanggil Adam dengan nama Mamajee.

“Boleh dikatakan, Adam rapat dengan anak saya. Selain Fatimah, adik-beradiknya yang lain, Omar Mukhtar dan Ali, juga rapat dengan adik saya. Sebelum ini, Adam belajar di Le Cordon Bleu London dan tinggal bersama kami. Lalu. hubungannya akrab dengan anak saya.

“Adam pun layan Fatimah seperti anaknya sendiri. Pendek kata, semuanya termasuk makan minum terjaga di bawah Adam. Dia juga rajin merakam telatah Fatimah dan Ali di laman Instagramnya. Dari situlah ramai yang mula jatuh hati dengan Fatimah. Video ‘Jange Panggil Timoh’ dan ‘Gapoever’ juga membuatkan Fatimah diingati ramai,” katanya.

Ditanya apakah mereka sekeluarga akan pulang untuk memberikan sokongan pada malam kemuncak ABPBH 31, 7 Oktober depan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Nor Ashila berkata sukar untuk mereka berbuat demikian kerana anaknya perlu bersekolah.

“Bagaimanapun, perancangan untuk pulang ke Malaysia memang sentiasa ada. Kami memang sepanjang waktu rindukan tanah air. Begitupun, saya dan suami perlu mendahulukan pelajaran anak,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.