Rosyam Nor Bersyukur Pembukaan Pasar Raya Rosyam Mart Dapat Sambutan Hangat

PENERBIT dan pelakon Datuk Rosyam Nor melalui proses mencabar apabila bank tidak yakin memberi pinjaman kepadanya bagi merealisasikan perniagaan runcit terbarunya ST Rosyam Mart.

Rosyam, 51, bagaimanapun berjaya berbuat demikian selepas pihak bank mendapat tahu rakan kongsinya adalah sebuah syarikat berpengalaman.

“Disebabkan modalnya sangat besar, jadi ia menyukarkan proses memohon pinjaman itu. Pihak bank mana kisah saya ini artis atau bukan dan prosedur tetap prosedur.

“Saya bersyukur syarikat kongsi saya sudah berpengalaman lebih 40 tahun dalam perniagaan runcit. Sekali gus membantu memudahkan permohonan itu,” katanya.

Rosyam mengakui sangat terkejut dan terharu apabila lebih 5,000 pengunjung menyerbu majlis pembukaan pasar rayanya itu di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Menurutnya, hal itu menguatkan lagi semangatnya untuk membuka tiga cawangan akan datang di samping membantu peniaga dan warganegara tempatan.

“Kami akan buka tiga lagi cawangan iaitu di Shah Alam, Bangi dan Melaka. Saya namun barangan yang kami jual lebih murah berbanding pasar raya lain di samping memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

“Selain itu, kami juga menyediakan ruang khas buat rakan artis yang turut terbabit dalam perniagaan runcit. Setakat ini, Fouziah Ghous sudah turut serta manakala Amy Search dan Riezman Khuzaimi juga menunjukkan minat,” katanya.

Dalam pada itu, Rosyam tidak akan berhenti berlakon meskipun sibuk dengan perniagaan itu.

“Saya cuma mahu hadkan kepada filem saja untuk karier lakonan selepas ini. Mana mungkin saya mahu berhenti berlakon sedangkan lakonanlah yang membawa saya ke tahap ini,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.