Ketua Polis daerah, Superintenden Ramli Kasa berkata, dakwaan mengenai kejadian tersebut yang tular dalam media sosial adalah tidak benar.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin dan terpengaruh dengan kejadian yang ditularkan,” katanya di sini hari ini.

Beberapa gambar mayat yang didakwa dicampakkan ke dalam longkang di Taman Gemas Jaya tular sejak semalam dan telah dikongsi oleh ribuan pengguna laman sosial.

Turut disertakan gambar seorang kanak-kanak yang didakwa mangsa pembunuhan itu dan kononnya organ dalaman mangsa telah tiada dipercayai diambil pihak tertentu.

Sementara itu, pemeriksaan mendapati gambar mayat yang ditularkan itu melibatkan kejadian bunuh seorang wanita warga asing berusia 20-an di Taman Gemas Jaya pada Ogos 2014.

Berdasarkan laporan akhbar, mayat wanita yang bekerja di sebuah kedai perabot ditemukan di dalam sebuah beg yang dimangga dan diikat dalam longkang di kawasan perumahan itu. – UTUSAN ONLINE