PKR Hilang Sokongan Ahli PPBM Jika Rafizi Berkempen Di PRK Port Dickson

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Port Dickson memberi amaran kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid supaya tidak turun berkempen di kawasan itu.

Penyelaras bahagian itu, Ramli Awang mendakwa, pihaknya terkesan dengan tuduhan kedua-dua pemimpin PKR itu yang menuduh Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin berkomplot untuk menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Kami mengalu-alukan Ketua Umum PKR (Anwar) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tidak lama lagi, namun Rafizi dan Abdullah Sani tidak perlu datang berkempen di sini.

“Kami tiada masalah dengan PKR tetapi amat terkesan dengan dua individu ini yang kerap membuat tuduhan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin mahu menjatuhkan Anwar secara tidak bermaruah,” katanya pada sidang media di Port Dickson.

Jika Rafizi dan Abdullah berdegil katanya, Anwar akan kehilangan sokongan 2,000 ahli PPBM kawasan itu.

“Kami tidak dapat menjamin sokongan lebih 2,000 ahli parti di kawasan berkenaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika kedua-dua pemimpin PKR terbabit berdegil.

“Oleh itu, kehadiran kedua-dua mereka hanya akan memburukkan keadaan kerana sebahagian ahli Bersatu sudah terguris hati dengan tuduhan terhadap pemimpin kami selama ini,” tambahnya.

Namun Ramli memberi jaminan membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dicksin kepada PKR untuk memastikan kemenangan Anwar. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.