Laporan Polis Terhadap Shafee, Azeez

KUALA LUMPUR: Peniaga permaidani, J Deepak membuat laporan polis malam tadi terhadap bekas peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan bekas pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut laporan portal berita Malaysiakini, Deepak mendakwa mereka campur tangan dalam saman yang difailkan balu mendiang penyiasat persendirian (PI) P Balasubramaniam mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu, yang mana beliau juga adalah defendan dalam kes itu.

Ahli perniagaan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi dan mendakwa dirinya dipaksa mengambil Shafee sebagai peguamnya dalam kes itu atas arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Shafee diambil oleh Najib untuk mewakili saya dalam saman terbabit yang bertentangan dengan hasrat saya.

“Shafee dipaksa untuk menjadi peguam saya semata-mata atas (kuasa) bekas Perdana Menteri dan keluarganya yang menggunakan jabatan kerajaan serta institusi kewangan berkaitan kerajaan bagi menekan untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan melalui ugutan dan ancaman,” katanya dalam laporan polis itu.

Menurut Deepak, Shafee dan Azeez bertindak menurut arahan Najib dan menghalangnya daripada disoal dalam pemeriksaan balas terhadap kenyataan pembelaannya yang bertentangan pada tiga keadaan iaitu 19 Mac, 27 Mac dan 13 April.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu membenarkan Deepak disoal dalam pemeriksaan balas mengenai kenyataan pembelaannya oleh Americk Sidhu, peguam kepada A Santhamil Selvi, balu mendiang Balasubramaniam pada 26 Oktober tahun lalu dan satu lagi yang difailkan oleh firma Shafee pada 7 November 2017.

Dalam pernyataan pertahanan pertamanya, Deepak menegaskan ‘kebenaran mengenai apa sebenarnya terjadi yang jelas membabitkan Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, dalam kes pembunuhan Altantuya.’

Ramai orang dah mencuba #MaggiPedasGiler tetapi adakah anda yakin anda tahan makanan yang #PedasGiler ini? Kami cabar anda agar sertai #CabaranKontrolMacho ini dan buktikan kehebatan anda!

Deepak mendakwa dirinya dipaksa oleh Shafee untuk dimasukkan ke hospital kerajaan (19 Mac), ke sebuah hospital swasta (27 Mac) dan di sebuah hospital swasta di New Delhi (13 April).

Deepak selanjutnya mendakwa sebelum pemeriksaan pada 19 Mac lalu, Shafee memintanya supaya tidak hadir di mahkamah kerana beliau tidak mahu memberikan kesaksian palsu semasa pemeriksaan balas.

Saudagar permaidani itu berkata dakwaan Shafee di mahkamah bahawa anak guamnya datang ke pejabatnya dan muntah darah – yang membuatkan beliau dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras – adalah ‘suatu pembohongan secara terang-terangan.’

Sebelum tarikh perbicaraan 27 Mac itu, Deepak mendakwa dirinya terpaksa dimasukkan ke hospital swasta untuk mengelak daripada memberi keterangan.

Pada kesempatan yang ketiga, Deepak berkata Azeez memaksa dirinya bertemu Shafee, di mana beliau disarankan pergi ke luar negara, ke India untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Dalam laporan polisnya, Deepak menyatakan bahawa beliau mempunyai rakaman audio dan visual bagi menunjukkan bahawa Shafee dan Azeez cuba untuk memutarbelitkan sistem keadilan.

Selepas BN kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei, ahli perniagaan itu menghentikan khidmat Shafee dan melantik seorang peguam baru, RK Nathan.

Deepak sebelum ini menyatakan bahawa walaupun Najib, Rosmah, dua daripada adik Najib dan empat yang lain berjaya membatalkan saman Santhamil, beliau akan membawa kesemua defendan itu kembali ke mahkamah sebagai tuntutan pihak ketiga.

Mahkamah Tinggi juga sudah menerima kenyataan pembelaan yang pertama.

Deepak dilihat sebagai pihak yang bertanggung jawab dalam penarikan balik akuan bersumpah Balasubramaniam pada 4 Julai 2008 mengenai pembunuhan Altantuya. – BERITA HARIAN

One thought on “Laporan Polis Terhadap Shafee, Azeez

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.