Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo tidak terkecuali menyenaraikan kemungkinan-kemungkinan menanti seperti disiarkan di laman Facebook beliau hari ini .

Berikut kenyataan penuh yang bertajuk ‘Kemungkinan yang menanti selepas Anwar Ibrahim menjadi anggotanya’.

1) DSAI tidak bertanding di Pandan kerana beliau tahu akan berlaku sabotaj dari kem Azmin Ali, semua tahu orang kuat PKR di Selangor, sdr Amirudin dan Zuraida adalah pendukung kuat Azmin Ali,

2) Bertanding di Pandan bererti akan kosong kerusi Timbalan Perdana Menteri, ini bermakna DSAI akan menjadi TPM selepas memenanginya, Satu perkara yang DSAI amat takuti kerana DSAI tidak mahu berada di bawah tangan Tun Dr Mahathir, jika ini berlaku tidak mustahil peristiwa lama akan berulang.

3) Jika berlaku satu lagi peristiwa buruk sama ada ianya betul atau sebaliknya, ia akan menguburkan hasratnya utk menjadi PM sama sekali. Selagi Tun Mahathir tidak boleh mengambil sebarang tindakan malah tiada di bawah kawalan Tun Mahathir, selagi itulah peluangnya untuk menjadi PM kekal cerah.

4) Lebih cepat DSAI memasuki Parlimen Lebih baik untuknya kerana dengan menjadi anggota Parlimen sebenarnya sudah tiada halangan untuk DSAI menjadi PM malah bagi saya beliau boleh memilih masa yang sesuai mengikut percaturannya sendiri bukan lagi percaturan Tun Dr Mahathir lagi.

5)Situasi kurang kontroversi ialah menunggu tempoh dua tahun, di mana Tun Dr Mahathir tamat tempoh seperti telah dipersetujui PH.

6) Situasi kedua ialah dengan memaksa Tun Dr Mahathir melepaskan jawatan dengan mengenakan tekanan di Parlimen dengan menunjukkan Tun Dr Mahathir tidak mempunyai sokongan majoriti lagi di Parlimen.

7) Saya percaya situasi kedua akan menjadi percaturan DSAI kerana cara ini lebih memberi kepuasan kepada DSAI, selain nencapai cita-citanya , beliau juga dapat memalukan Tun Dr Mahathir sebagaimana Tun lakukan ke atas diri nya dulu.

8) Tidak sukar untuk DSAI melakukannya kerana beliau akan dapat sokongan dari ahli Parlimen PKR,UMNO,PAS dan lainnya.

9) Dengan membawa cadangan membentuk kerajaan perpaduan yang pasti nya jalan keluar kepada masalah politik negara hari ini, saya percaya sebahagian besar rakyat akan menyanjungnya,

10) Saya lihat perkara ini akan berlaku di awal tahun depan. Persoalannya adakah rakyat dan negara mendapat faedah yang terbaik dan negara terus melangkah maju ke hadapan?

11) Sesuatu yang pasti rakyat akan disogokkan dengan madah perubahan itu perlu demi kebaikan negara dan rakyat.

12) Jangan sampai dua orang bergaduh rumah kita pula yang terbakar. – UTUSAN ONLINE