Kenapa Port Dickson? Ini Jawapan Saifuddin

SHAH ALAM: Sejak pengumuman PKR mengenai pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding, wujud pelbagai reaksi mengenai keputusan tersebut.

Segelintir pihak termasuk pemimpin PKR sendiri mempertikaikan tindakan pengosongan kerusi itu. Namun, soalan yang kerap berlegar adalah, mengapa kerusi PD?

Mendedahkan perkara tersebut, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, keputusan memilih untuk bertanding di kerusi PD dibuat sendiri oleh Anwar.

Katanya, Anwar memilih PD selepas tiga ahli Parlimen menulis kepada beliau dan menawarkan kerusi mereka untuk dikosongkan bagi memberi laluan kepada presiden PKR itu.

“Sebagai seorang yang kaya dengan pengalaman politik, saya percaya keputusan yang Datuk Seri (Anwar Ibrahim) buat itu adalah berdasarkan kepada alasan-alasan kuat dan munasabah.

“Sudah tentu alasan munasabah itu mengambil kira faktor kemenangan, dan penilaian itu dibuat sendiri oleh beliau, sudah tentu ia mengambil kira maklum balas yang diterima,” katanya dipetik dari Astro Awani.

Beberapa pemimpin PKR sendiri sebelum ini melahirkan kebimbangan terhadap sejauh mana Anwar mampu memenangi kawasan yang majoriti pengundinya merupakan anggota tentera.

Apatah lagi, Anwar bukan pemimpin yang sinonim dengan kawasan yang digelar ‘Bandar Tentera Darat’ itu. 

Mengulas mengenai perkara tersebut, Saifuddin menjelaskan sejak ditubuhkan PKR sentiasa menempuh jalan sukar.

“PKR ini lebih banyak menempuhi jalan sukar berbanding jalan mudah, tetapi PKR sebagai sebuah parti reformasi yang diasuh oleh Anwar, kami diajar mengambil sikap optimis,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.