Sultan Johor Arah Kenal Pasti Sekolah Berisiko Berlaku Kebakaran

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengarahkan agar sekolah berisiko tinggi berlaku kebakaran di negeri ini dikenal pasti susulan kebakaran sekolah agama di Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Baginda yang menzahirkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung itu turut menyifatkan kejadian tersebut sebagai tragedi menyayat hati.

“Semoga Allah beri kekuatan dan ketabahan hati kepada keluarga mangsa,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Royal Press Office di sini malam tadi.

Sultan Ibrahim mahu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengambil tindakan segera mengenal pasti sekolah yang berisiko tinggi itu.

Tegas baginda, ini termasuk madrasah, pusat tuisyen, sekolah berasrama penuh, sekolah rendah dan menengah.

Selain itu Sultan Ibrahim mahu pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang beroperasi secara haram.

“Jika mereka didapati melanggar peraturan dan undang-undang, pihak berkuasa jangan teragak-agak untuk tutup premis mereka,” titah baginda.

Menurut baginda, semua pusat tahfiz yang dikendalikan secara persendirian mesti mempunyai lesen atau permit sah dan jika gagal dipatuhi, tindakan tegas akan diambil.

Titah baginda, ini bagi memastikan kejadian yang sama tidak berlaku di Johor. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.