Saksi Trauma Pelajar Terjatuh Depan Mata

“Trauma, tak tahu nak kata apa bila tiba-tiba seorang daripada anak-anak tahfiz itu jatuh depan mata saya, seorang lagi di belakang saya,” kata seorang saksi paling awal yang tiba di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di ibunegara ketika pusat itu sedang dijilat api awal pagi semalam.

Ahmad Tirmizi Abdul Hamid, 46, sebak menceritakan detik yang tidak mampu digambarkan itu selain tidak menyangka beliau akan berdepan tragedi tersebut sebaik tiba di surau Al Madrasatul Ittifaqiyah yang terletak bersebelahan pusat tahfiz itu kira-kira 5.30 pagi semalam untuk solat subuh.

Beliau yang tinggal tidak jauh dari pusat tahfiz itu berkata ketika hendak berwuduk, beliau terlihat cahaya terang dari arah bangunan pusat tahfiz berkenaan, bagaimanapun tidak menyangka sesuatu yang pelik sedang berlaku.

“Sebaik selesai berwuduk saya pergi intai dari pagar surau ke kawasan asrama (bersebelahan surau). Saya terdengar anak-anak tahfiz menjerit … panas-panas…api-api…. Baru saya sedar ada kebakaran. Saya menjerit pada mereka agar keluar, segera turun sambil saya cuba mendapatkan alat pemadam api dari dalam pejabat tetapi gagal kerana pintunya berkunci.

“Saya cuba merempuh pintu pejabat tetapi gagal. Saya buntu dan tak tahu nak buat apa lagi. Ketika cuba menghampiri perkarangan pusat tahfiz itu langkah saya terhenti apabila seorang daripada anak itu jatuh betul-betul depan mata saya, seorang lagi jatuh di belakang saya dengan api membakar badan mereka,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Tirmizi berkata dengan bantuan seorang lagi penduduk yang juga datang bersolat di surau itu, mereka cuba memadamkan api pada badan kanak-kanak itu dengan kain basah.

“Pada masa itu saya langsung tak boleh fikir apa-apa lagi. Dalam masa sama saya juga risau dengan nasib anak-anak tahfiz yang lain yng berada di tingkat atas.

“Dalam hati, saya tidak putus-putus berdoa agar lebih ramai penduduk menyedari kejadian itu dan turut datang membantu.

“Sebelum bomba sampai, memang penduduk cuba bantu, tapi semuanya berlaku dalam sekelip mata, api makin besar dan kami juga turut terasa panas bahang api yang marak serta terhidu asap tebal kebakaran,” jelasnya.

Ahmad Tirmizi berkata beliau tidak mampu untuk mengingati lebih lagi tentang kebakaran yang berlaku kerana terlalu sedih kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan lebih ramai pelajar yang terperangkap di tingkat atas bangunan itu.

Kebanyakan jemaah surau berkenaan yang ditemui Bernama turut melahirkan rasa sedih dan terkilan dengan tragedi memandangkan anak-anak pusat tahfiz berkenaan sering mengimarahkan surau itu dengan gelagat mereka yang sopan dan mesra dengan semua orang.

Lebih 300 penduduk kawasan berhampiran serta waris mangsa memenuhi ruang surau berkenaan untuk bersolat maghrib dan isyak secara berjemaah serta mengadakan majlis bacaan Yassin.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang merupakan warden terkorban dalam kebakaran itu yang berlaku 5.15 pagi.

‘Pengorbanan Mohd Yusuf’

Sementara itu, tindakan Allahyarham Mohd Yusuf Md menyelamatkan pelajarnya yang terperangkap dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur nyata membanggakan anggota keluarganya.

Kakak ketiganya, Norazni Md, 37, berkata pengorbanan Mohd Yusuf yang sanggup membahayakan nyawa sendiri sememangnya di luar jangkaan mereka semua.

Beliau berkata ibunya Saadiah Othman, 62, juga sangat tenang dan reda ketika mengetahui perkhabaran pemergian adiknya itu.

“Dia pergi dalam keadaan paling baik, nak selamatkan nyawa orang,” katanya ketika ditemui bersama-sama keluarganya pada majlis Tahlil di kediaman mereka di Felda Besout malam tadi.

Allahyarham Mohd Yusuf, 26, yang juga warden dan tenaga pengajar di tahfiz itu, merupakan anak kelapan daripada 10 beradik.

Norazni berkata anggota keluarganya mengetahui tentang kebakaran pusat tahfiz itu pada 7 pagi semalam namun, mereka tidak dimaklumkan keadaan Mohd Yusuf pada ketika itu.

Beliau berkata abang sulungnya Noorazam, 40, yang menetap di Kuala Lumpur, pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk memeriksa dan diberitahu nama adiknya tiada dalam senarai mangsa selamat.

“Bila Abang Long mengesahkan Abang Chik terkorban, ibu menitiskan air mata dan dia tenang dengan pemergian adik kami,” katanya sambil memberitahu bahawa allahyarham adiknya adalah seorang yang periang.

Allahyarham Mohd Yusuf, yang masih bujang, belajar di pusat tahfiz tersebut sejak berusia 15 tahun dan kemudian berkhidmat sebagai guru dan warden di pusat sama.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.