Pusat Tahfiz Hanya Ada Satu Laluan Keluar – Bomba

PROSES ubahsuai dilakukan pemilik Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Kuaka Lumpur, didapati menghalang laluan keluar kedua.

Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wira Wan Mohd Wan Ibrahim, hari ini.

Beliau berkata, semakan pihaknya mendapati pusat tahfiz berkenaan menjalani proses ubahsuai sehingga menutup laluan keluar kedua pada premis itu.

“Mereka (pemilik) tidak merujuk semula pelan bangunan yang sudah diubahsuai kepada kita. Jika diteliti pelan terkini sudah tidak sama dengan yang asal yang diluluskan,” katanya.

Memperincikan perkara itu, Wan Mohd berkata, pemilik premis itu sememangnya menghantar pelan bangunan kepada JBPM.

“Kita dah teliti pelan asal itu. Bangunan itu ada dua laluan keluar sebelum diluluskan. Tapi, pemilik membuat ubahsuai dan gagal maklumkan pelan terkini kepada kita.

“Proses ubah suai itu menghalang laluan keluar kedua (berbanding plan asal).

“Insiden semalam, ramai mangsa terperangkap apabila satu-satunya laluan keluar terhalang,” katanya.

Menurutnya, insiden berkenaan mungkin tidak seburuk itu sekiranya pemilik premis mementingkan aspek keselamatan.

“Aspek keselamatan amat penting. Kos memang tinggi bagi sediakan aspek keselamatan tetapi jika kehilangan satu nyawa dalam kebakaran, ia lebih merugikan,” katanya.

Dalam kebakaran awal pagi semalam, 21 pelajar dan dua guru maut selepas terperangkap di tingkat tiga premis berkenaan. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.