Optimis Cara Noh Salleh

Mengakui dirinya bukan seorang vokalis yang bagus, Noh Salleh terus berkarya dengan penghasilan album bungkus semula Angin Kencang yang memuatkan tiga lagu baharu berjudul Renjana, Mr. Polia dan Sarawak.

Dia kemudian menyifatkan dirinya sebagai pemuzik berbanding vokalis, walaupun nama Noh dikenali ramai sebagai peneraju atau penyanyi kumpulan Hujan.

“Saya memang bukan seorang vokalis yang baik. Saya hanya seorang pemuzik yang suka bikin apa yang saya suka.

“Saya sangat mengagumi bakat nyanyian Aizat Amdan dan Hazama. Bagi saya, mereka sangat berbakat dan jujur dalam nyanyian. Saya tidak akan dapat pernah menandingi bakat nyanyian mereka berdua,” ujar suami kepada Mizz Nina itu.

Bimbang dengan keadaan ‘ekonomi’ industri muzik tanah air sejak kebelakangan ini khususnya dari segi penjualan album, Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh, 32, bagaimanapun yakin masih ada peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap perjalanan seninya sama ada secara solo mahupun berkumpulan.

“Sekarang ini, kebanyakan muzik dijual secara digital. Album Angin Kencang menerima sambutan yang cukup baik apabila dilancarkan di Jakarta, Indonesia dua tahun lalu. Versi bungkus semula ini pun saya rancang untuk melakukan promosi di sana.

“Di sana, album ini mendapat sambutan yang menggalakkan. Bukan untuk menidakkan industri sendiri tetapi cara orang sana menghargai hasil kerja berbeza. Penghargaan mereka terhadap kulit album mahupun susunan muzik amat mengesankan.

“Barangkali kerana penduduk di sana sangat ramai lantas membuatkan sambutannya sedikit berbeza. Walaupun album fizikal sukar untuk dijual zaman ini, saya yakin masih ramai peminat yang amat menghargai nilai estetika sesebuah album fizikal,” tutur Noh seraya menyatakan tiga buah lagu baharu dalam Anging Kencang itu dirakam di Indonesia.

Bukan merajuk atau berkecil hati dengan sambutan peminat gelanggang sendiri terhadap kayuhan muzik solonya, Noh amat berpegang kepada prinsip, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.

“Memang tidak dinafikan muzik solo saya bersifat syok sendiri. Di Malaysia, ia mungkin kurang mendapat sambutan tetapi saya seronok buat apa yang saya suka. Saya terhutang budi kepada ramai peminat (raingers) sejak 10 tahun lalu.

“Saya ingin terus mengembangkan muzik Indonesia tetapi saya juga sedar bahawa perlu memenangi jiwa peminat tempatan yang tidak henti-henti menyokong sejak jenama Hujan diperkenalkan,” luah Noh yang berpeluang melakukan persembahan pada acara berprestij, Java Jazz di Indonesia tahun lalu bersama bintang popular republik itu seperti Marcell, Isyana Sarasvati dan Level42.

Inspirasi

Mengulas lanjut mengenai album baharunya itu, Noh dengan pantas memetik nama kumpulan berpengaruh kelahiran Indonesia, Sore dan menyifatkan band indie yang dianggotai oleh Ade Firza Paloh, Awan Garnida, Reza Dwiputranto dan Bemby Gusti Pramudya itu sebagai idola.

“Saya boleh menangis mendengar muzik mereka. Album Ports of Lima adalah sebuah album yang banyak memberi inspirasi dalam perjalanan muzik solo saya sehingga hari ini,” terangnya.

Sesuai dengan irama pop retro yang diketengahkan, Noh sememangnya tidak mampu menafikan gaya atau pegangan muzik ‘lama’ yang tersemat dalam benak pemikiran serta hatinya.

Katanya, antara inspirasi lain dalam cetusan muzik solonya terutama penghasilan tiga lagu baharu, Noh menyebut nama Amcorp Mall yang terkenal dengan nostalgia piring hitam.

“Kalau orang tanya tentang inspirasi, saya akan kata Amcorp Mall. Dulu, setiap minggu saya akan kumpul RM100 untuk beli cakera padat yang berharga RM10 setiap satu.

“Muzik Melayu dahulu memang sangat mendepani masa. Lihat sahaja muzik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Saya memang sentiasa memandang tinggi nilai seni, khususnya muziknya yang tiada tolak banding sehingga hari ini,” kata Noh yang amat menggemari lagu dendangan Sam Saimun berjudul Di Wajahmu Ku Lihat Bulan.

Jelajah

Bercakap tentang promosi album Angin Kencang, Noh mengadakan persembahan jelajah di empat lokasi di Malaysia. Empat lokasi tersebut adalah Pasar Karat, Johor (13 September), Taming Sari, Melaka (14 September), Padang Kota Lama, Pulau Pinang (16 September) dan Gerbang Malam, Ipoh, Perak (17 September).

“Ia akan menjadi sebuah persembahan santai. Album Angin Kencang nanti akan dijual di empat lokasi yang disebutkan. Memang itu tujuannya kerana ingin lebih dekat dengan peminat kerana itulah asas hubungan antara saya dan peminat sejak awal pembabitan,” jelasnya.

Sebelum mengunci perbualan, Noh berbicara tentang komitmennya dengan band yang memperkenalkan namanya iaitu Hujan.

Katanya, Hujan yang dianggotai oleh AG Coco, Azham Ahmad, Hang Dimas dan Izzat Uzaini tetap prioriti paling penting dalam hidupnya.

“Hujan muncul sekitar tahun 2005 tepat pada waktunya. Saya tidak boleh bayangkan kalau Hujan baru ingin diperkenalkan pada zaman sekarang. Siapa mahu dengar muzik kami?

“Hujan tetap prioriti saya. Bahkan kami sedang dalam rencana untuk menghasilkan muzik baharu. Saya bersyukur kerana sejak tahun 2007, masih ada peminat yang sentiasa menyokong sehingga hari ini walaupun bermacam-macam genre muzik diperkenalkan sekarang,” ungkap Noh.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.